Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan Bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara

‚Äč

Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diadakan pada hari ini, Sabtu, 14 Jamadilawal 1438 bersamaan 11 Februari 2017 bertempat di Bilik Kuliah, Tingkat 4, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

 

Seramai 20 orang Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara menghadiri Sesi Muzakarah tersebut yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani Bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.

 

Sesi Muzakarah ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Menteri Kesihatan, selaku Pengerusi Majlis Muzakarah ini. Yang Berhormat Menteri Kesihatan antaralain menyentuh mengenai tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi 'Bersama Ke Arah Warga Sihat' iaitu:

  1. Menerapkan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab semua (health is everyone's business).
  2. Mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs).
  3. Memberikan perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan (consolidation) dan pensejajaran (realignment) perkhidmatan-perkhidmatan penjagaan kesihatan demi memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan serta menghentikan pembaziran (wastages).

 

Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan akan kepentingan 'membudayakan kesihatan' ataupun culture of health demi kesejahteraan dan kesihatan diri, keluarga, masyarakat, rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam. Kerjasama erat dari semua lapisan masyarakat adalah sangat penting  dalam meningkatkan kesedaran awam (public awareness) tentang kepentingan menjaga kesihatan dan menekankan bahawa kesihatan adalah peranan semua (health is everyone's business).

 

Sejurus itu, Yang Berhormat Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani Bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim selaku wakil Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga menyampaikan ucapan balas di Majlis tersebut.

 

Majlis Muzakarah kemudiannya diikuti dengan sesi taklimat mengenai perkembangan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, cabaran-cabaran dan usaha-usaha terkini yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan. Taklimat ini telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr Hazri bin Haji Kifle, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) dan Dr Hajah Maslina binti Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan.

 

Permuzakarahan seterusnya diikuti dengan sesi dialog di antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pihak Kementerian Kesihatan. Dialog yang diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan secara terbuka itu adalah bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

 

Selesai Sesi Muzakarah, rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dibawa melawat dan meninjau dengan lebih dekat lagi kemudahan-kemudahan dan projek pengubahsuaian wad-wad yang terdapat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

 

Turut hadir di Sesi Muzakarah ini ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Ketua-Ketua Fungsi serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan.

Attachments