Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

MOH implements Ops 'Merati' at business premises

KEMENTERIAN KESIHATAN MELAKSANAKAN

OPERASI 'MERATI' DI PREMIS-PREMIS PERNIAGAAN

 

Bandar Seri Begawan, 03 Rabiulakhir 1442H / 19 November 2020 – Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah menjalankan beberapa sesi Operasi "Merati" dari 9 November hingga 15 November 2020 di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

 

Operasi Merati ini dijalankan di premis-premis perniagaan di kawasan-kawasan seperti berikut:

 

Daerah Brunei Muara
  • Kawasan Sg. Hanching
  • Bandar Seri Begawan
  • Pasar Gadong
  • Batu Bersurat
  • Gadong Sentral
  • Serusop
  • Lumapas
  • Batu Satu
Daerah Belait
  • Bangunan Bumi Putra
  • Kompleks Perindustrian Ringan Kuala Belait
Daerah Tutong
  • Pekan Tutong
  • Kg. Batang Mitus
  • Kg. Lamunin
Daerah Temburong
  • Bangar

 

Operasi Merati di Daerah Belait dan Daerah Temburong melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

 

Manakala, Operasi Sepadu Merakat di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong dijalankan bersama dengan Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

 

Sebanyak 71 premis perniagaan telah diperiksa. Hasil dari operasi yang telah dijalankan mendapati bahawa 11 premis perniagaan tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan dan telah dikenakan denda kompaun keseluruhannya sebanyak $3,450.

 

Antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan denda kompaun adalah seperti berikut:-

  1. Premis-premis berkenaan tidak memakai sungkup muka (face mask) bagi pengendali dan penyedia makanan, serta kakitangan di premis-premis tukang gunting rambut dan premis-premis Establismen kecantikan dan kesihatan juga didapati tidak memakai sungkup muka (face mask); dan
  2. Tidak menggunakan kod QR BruHealth.

 

Kementerian Kesihatan telah mendapati enam (6) buah premis perniagaan masih tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, iaitu kakitangan mereka tidak memakai sungkup muka (face mask) semasa Operasi dijalankan di Daerah Brunei Muara. Premis-premis perniagaan tersebut dikenakan denda bagi kesalahan kali kedua.

 

Kementerian Kesihatan sekali lagi ingin menekankan dan mengingatkan orang ramai, terutama sekali bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya. Pengurus perniagaan hendaklah:

  1. Memastikan pengendali, penyelia makanan dan kakitangan mereka memakai sungkup muka (face mask).
  2. Melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.
  3. Mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis mereka dan mencetak kod QR dan dilekatkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan.
  4. Menggunakan Aplikasi Premise Scan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan yang tidak menggunakan Aplikasi BruHealth di telefon bimbit mereka.
  5. Mengamalkan langkah-langkah kebersihan di dalam premis perniagaan dan terutama sekali bagi premis makanan diingatkan untuk mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan jika menyediakan makanan secara buffet.

 

Sebarang aduan atau laporan mengenai premis-premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel kepada health.enforcement@moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

 

-TAMAT-

 

 

Rujukan           : KK/PR/1

Tarikh             : 03 Rabiulakhir 1442H / 19 November 2020


Attachments