Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

IMPLEMENTATION of the National Vaccination Program for COVID-19 and First Dose Injection of COVID-19 Vaccine

Pelaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19

dan Suntikan Dos Pertama Vaksin COVID-19

20 Syaaban 1442 / 3 April 2021

 

 

Hari ini menandakan hari pertama bagi pelaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 di seluruh negara. Suntikan dos pertama vaksin COVID-19 diberikan kepada penerima-penerima vaksin di kesemua pusat-pusat vaksinasi di Negara Brunei Darussalam.

 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham Bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada pagi ini bersama dengan Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan, serta pegawai-pegawai yang terdiri daripada Petugas Barisan Hadapan (frontliners). Pada sesi pagi bagi Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19, seramai lebih 340 orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di seluruh negara.

 

Sepertimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini, pada peringkat awal ini, petugas-petugas di fasiliti-fasiliti kesihatan akan diberikan vaksin COVID-19 terlebih dahulu.  Pemberian vaksin berkenaan akan dilaratkan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota-anggota beruniform seperti dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei, petugas-petugas yang berkaitan dengan kuarantin dan yang terlibat di Pos-Pos Kawalan seperti Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan  Kastam dan Eksais Diraja dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, para sukarelawan, cabin crews dan lain-lain lagi. Seramai kira-kira 2,000 lebih petugas barisan hadapan akan menerima vaksin COVID-19.

 

Bagi mereka yang di dalam Fasa 1 yang terdiri daripada individu yang berumur 60 tahun ke atas, Fasa 2 dan Fasa 3, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menunggu giliran yang akan dimaklumkan kemudian. Orang ramai adalah juga disarankan untuk tidak mengunjungi pusat-pusat vaksinasi pada masa ini dan Kementerian Kesihatan akan memaklumkan orang ramai bagi pembukaan tempahan vaksin-vaksin mengikut peringkat-peringkat pelaksanaan.

 

Sementara menunggu pembukaan tempahan perjanjian bagi vaksin, orang ramai disarankan untuk mengesahkan akaun BruHealth masing-masing dan memastikan maklumat peribadi di dalam Bru-HIMS dikemaskinikan untuk memudahkan tempahan vaksinasi COVID-19 nanti.

 

Vaksinasi merupakan langkah yang paling efektif untuk melindungi diri sendiri, orang yang tersayang, dan juga masyarakat daripada kesan bahaya COVID-19. Walaubagaimanapun, ianya adalah penting bagi orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan diri, etika batuk dan bersin yang betul pada setiap masa. Orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk tidak keluar rumah jika merasa kurang sihat serta mengelakkan dari mengunjungi tempat-tempat yang penuh sesak.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn dan ikuti media sosial Kementerian Kesihatan (@mohbrunei) atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

 

 

 

-T A M A T-

 

 

Rujukan        : KK/PR/3

Tarikh            : 03 April 2021M / 20 Sya'ban 1442H


Attachments