PROGRAM VAKSINASI
HUMAN PAPILLOMA VIRUS (HPV) KEMENTERIAN KESIHATAN
Kementerian Kesihatan akan menjalankan Program Vaksinasi Human Papilloma Virus (HPV) pada bulan Januari 2012 bagi melindungi remaja perempuan di Negara Brunei Darussalam sebagai langkah awal pencegahan Kanser Servik.
Vaksinasi (HPV) ini akan diberikan sebanyak 3 kali dalam tempoh 6 bulan mengikut jadual tertentu, kepada remaja perempuan di seluruh Negara. Vaksinasi ini akan diberikan di sekolah-sekolah atau pusat-pusat vaksinasi. Kementerian Kesihatan telah mengenalpasti vaksinasi HPV ini diberikan kepada remaja perempuan yang berumur 11 – 13 tahun (Tahun 7) kerana suntikan ini adalah lebih berkesan jika diberikan pada usia yang awal.
Bagi tahun 2012 hingga 2015, vaksinasi HPV ini juga akan diberikan melalui program ‘catch-up’ kepada remaja perempuan yang sedang menuntut dalam Tahun 11. Seperti program-program vaksinasi sebelum ini, borang-borang kebenaran akan diedarkan melalui sekolah-sekolah dan pusat-pusat vaksinasi untuk kebenaran ibu/bapa atau penjaga.
Sebanyak 500,000 kes kejadian Kanser Servik telah dilaporkan setiap tahun dan merupakan penyebab kematian kedua terbesar di kalangan wanita di seluruh dunia dengan angka kematian yang mencapai 300,000 setiap tahun. Kanser Servik juga merupakan kanser wanita kedua paling kerap terjadi dan adalah salah satu daripada punca kematian yang tertinggi di kalangan wanita di Negara Brunei Darussalam.