Search this site

 

UBAT TRADISI DAN PRODUK-PRODUK KOSMETIK MENGANDUNGI BAHAN RACUN
 

Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa ubat tradisi dan produk-produk kosmetik seperti yang disenaraikan di bawah, didapati mengandungi bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun :

1.    Asmur Asam Urat Flu Tulang Plus Ginseng, dikilangkan oleh PJ Serbuk Sari Cilacap di Indonesia, telah didapati mengandungi Phenylbutazone

2.     Ains Beauty Care – Clear II Cream, Ains Beauty Care – Face Lotion 1 and Ains Beauty Care – Face Lotion 2, dikilangkan oleh Max Beauty Industries Sdn Bhd di Malaysia, telah didapati mengandungi Hydroquinone

Phenylbutazone adalah sejenis ubat untuk meredakan sakit dan bengkak. Penggunaan tanpa pengawasan boleh mengakibatkan penyakit gastrik, gangguan pendengaran, sesak nafas dan bengkak pada bahagian muka atau bahagian bawah kaki dan masalah darah 

Hydroquinone adalah sejenis racun yang hanya boleh dipreskrib oleh doktor. Penggunaan bahan ini tanpa pengawasan doktor boleh mendatangkan kesan sampingan dan masalah kepada kulit, kulit menjadi merah dan rasa pedih; nefropati, leukaemia dan ‘hepatocellular adenoma’.

Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak membeli atau memakan ubat-ubatan berkenaan. Mereka yang memiliki mana-mana produk berkenaan adalah dinasihatkan supaya memusnahkan atau menyerahkannya kepada Unit Penguatkuasaan Farmasi, Blok 2G, Tingkat 8, Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2230036.

Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun untuk menjual apa jua produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan hukuman bagi kesalahan tersebut, apabila didapati bersalah ialah denda sebanyak $8000.00 atau enam bulan penjara.

Tarikh : 14hb Jun 2007


 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.