Search this site

 

Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke–58, 10 – 14 September 2007, Jeju, Republik Korea


Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke–58, 10 – 14 September 2007, Jeju, Republik Korea

Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke-58, (58th Regional Committee Meeting for the Western Pacific) sedang berlangsung di Jeju, Republik Korea, bermula pada 10 September dan akan berakhir pada hari Jumaat, 14 September 2007. Jawatankuasa Serantau, yang terdiri dari Menteri-Menteri Kesihatan atau wakil-wakil dari 37 buah negara ahli di Rantau Pasifik Barat, bermesyuarat setahun sekali untuk meneliti rancangan-rancangan dan aktiviti-aktiviti Pertubuhan Kesihatan Sedunia di rantau ini.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan bersama beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat ini meneliti pencapaian kerja-kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Rantau Pasifik Barat dan juga negara-negara ahli, untuk memastikan segala program kesihatan berjalan dengan lancar dan berkesan. Antara isu-isu yang dibincangkan ialah meneliti Peruntukan Kewangan (“Budget Performance”) bagi tahun kewangan 2006-2007 dan seterusnya Cadangan Peruntukan bagi tahun kewangan 2008-2009 (“Programme Budget 2008-2009”). Selain daripada itu, Mesyuarat ini juga membincangkan dan mengkaji semula tugas-tugas Pentadbiran, Dasar, Program dan tuju hala masa depan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Asia Pasifik Barat. Dalam agenda Lapuran Pengarah Rantau, Mesyuarat telah membincangkan kedudukan aktiviti Pertubuhan Kesihatan Rantau

Pasifik Barat, pencapaian kesihatan dan sokongan serta bantuan kepada negara-negara ahli. Seterusnya agenda Pencapaian Sasaran Perkembangan Millennium (“Progress towards achieving the Millennium Development Goals”) pula memfokus kepada peningkatan dan pencapaian status kesihatan yang membabitkan Survival kanak-kanak membenteras HIV/AIDS dan penyakit Tibi (“child survival, combating HIV/AIDS and tuberculosis”) dan juga memperkukuhkan sistem kesihatan.

Mesyuarat ini juga membincangkan isu-isu teknikal lain termasuk Avian dan Pandemik Influenza (“Avian and Pandemic Influenza”); Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (“International Health Regulations 2005”), dan Strategi Asia Pasifik untuk Penyakit yang Baru Muncul (“The Asia Pacific Strategy for Emerging Diseases”); Hak Milik Intelektual (“Intellectual Property Rights”), Pembaharuan dan Kesihatan Awam (“Innovation and Public Health”); “People at the Centre of Care Initiative”; Laporan Lanjut Mengenai Pencegahan (“Follow-up reports on Prevention”) dan Kawalan Penyakit Berjangkit (“Control of Communicable Diseases”); Kawalan Tembakau (“Tobacco Control”); Kesihatan Mental (“Mental Health”); dan Ubat-Ubatan Tradisional (“Traditional Medicine”). Beberapa resolusi juga akan dipertimbangkan bagi perlaksanaan ke atas isu-isu yang dipersetujui mengenainya.

Dr Shigeru Omi, Pengarah bagi Rantau Pasifik Barat, telah melapurkan mengenai berbagai isu kesihatan seperti penggubalan satu inisiatif baru untuk mempertingkatkan kualiti kesihatan dan juga pelan tindakan jika sekiranya berlaku wabak pandemik influenza yang disebabkan oleh avian influenza H5N1 yang terus mengancam rantau ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan, di dalam ucapannya telah menyatakan Negara Brunei Darussalam mengambil maklum terhadap langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan taraf kesihatan di rantau ini.

Negara Brunei Darussalam telah merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak WHO yang telah memberikan bantuan teknikal yang mana bagi tahun 2008-2009 akan melibatkan program pemantauan, pencegahan dan pengurusan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung, masalah kegemukan (obesity) dan juga faktor-faktor risiko yang berhubungkait dengan gaya hidup yang kurang sihat yang kian meningkat di Negara ini.

Di Mesyuarat ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatnya, Tuan Yang Terutama Professor Chen Zhu, Menteri Kesihatan Republik Rakyat China, pada 12 September 2007. Kedua-dua Negara telah menyatakan rasa gembira keatas hubungan dan kerjasama yang erat dalam bidang kesihatan sepertimana yang telah dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman dan Pelan Tindakan. Isu-isu yang dibincangkan dalam perbincangan ini ialah usaha meningkatkan kerjasama kesihatan berkaitan dengan peningkatan kapasiti tenaga manusia dan bidang penyelidikan ubat-ubat tradisional. Tuan Yang Terutama telah menyatakan yang Negara Brunei Darussalam mempunyai potensi sebagai sumber ubat-ubat tradisional yang mana pihak Republik Rakyat China telah menyatakan kesudian membantu dalam bidang teknikal seperti membuat dan memproses (processing and manufacturing) ubat-ubatan tradisional dan seterusnya memajukannya melalui satu projek kerjasama antara kedua Negara.

- T A M A T -

Tarikh : 12 September 2007
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.