Search this site

 

YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI PERHIMPUNAN KESIHATAN SEDUNIA KE–61
(61ST WORLD HEALTH ASSEMBLY)
19 - 24 MEI 2008, GENEVA, SWITZERLAND
 

Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke-61 (61st World Health Assembly) yang sedang berlangsung di Geneva, Switzerland, bermula pada 19 Mei akan berakhir pada 24 Mei 2008. Perhimpunan tersebut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kesihatan dan wakil-wakil dari 193 buah negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia [World Health Organization (WHO)]. Tahun ini juga adalah merupakan ulang tahun ke-60 tertubuhnya WHO.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan bersama beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Tema perhimpunan pada tahun ini adalah “Health-related Millennium Development Goals (MDGs) yang memfokus kepada cabaran dan pencapaian negara-negara ahli dalam menuju kearah “Matlamat Pembangunan Millenium [Millenium Development Goals (MDGs)]” pada tahun 2015. Bagi tujuan ini, negara-negara ahli telah diseru untuk meperkukuhkan sistem kesihatan melalui prinsip penjagaan kesihatan asasi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan, dalam ucapannya telah menyatakan Negara Brunei Darussalam terus komited ke arah usaha untuk mencapai MDGs tersebut. Negara Brunei Darussalam adalah salah sebuah negara yang awal berjaya di dalam mencapai beberapa matlamat MDGs termasuk universal primary education, gender equality, empowering women, reduction in child mortality dan combating HIV and AIDS, malaria and other diseases”. Negara Brunei Darussalam telah merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak WHO yang telah memberikan bantuan teknikal kearah pencapaian MDGs ini.

Seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyatakan Negara Brunei Darussalam juga menghadapi cabaran-cabaran di dalam mengekalkan status pencapaian MDGs seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan, bencana alam, disamping peningkatan penyakit-penyakit yang tidak berjangkit seperti penyakit jantung, kencing manis dan kanser.

Di Perhimpunan ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya secara berasingan iaitu Tuan Yang Terutama Dr. Ali Mohammed Moosa Al Moosa, Menteri Kesihatan Kesultanan Oman, Puan Yang Terutama Dr. Siti Fadilah Supari, Menteri Kesihatan Republik Indonesia dan Yang Berhormat Dato’ Dr Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia. Di perbincangan-perbicangan tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Negara Brunei Darussalam telah menyatakan rasa gembira di atas hubungan dan kerjasama yang erat di antara Negara Brunei Darussalam dengan Kesultanan Oman, Republik Indonesia dan Malaysia dan berhasrat untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala tersebut di dalam bidang kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Negara-Negara Komanwel (Commonwealth Health Ministers Meeting) yang berlangsung pada 18 May 2008. Mesyuarat kali ini telah membincangkan cabaran-cabaran ke arah pelaksanaan eHealth di Negara-Negara Komanwel. Ini termasuk isu-isu etika, perundangan, kewangan dan cabaran infrastruktur yang dihadapi oleh negara-negara bila memperkenalkan eHealth.

Selain daripada itu juga, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Negara-Negara Berkecuali [Non-Aligned Movement (NAM)] juga telahpun diadakan pada 21 Mei 2008 yang telahpun membincangkan dua isu iaitu penghijrahan dan latihan tenagakerja kesihatan dan masalah-masalah penyakit  yang mengancam negara-negara membangun yang boleh mengugat pencapaian matlamat MDGs .

Date: 24hb Mei 2008 / 18 Jamadilawal 1429
Reference:
KK/PR 10/08

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.