Search this site

 

SELESEMA KHINZIR MANUSIA (HUMAN SWINE INFLUENZA)
 

Berikutan dengan kejadian Wabak Selesema Khinzir Manusia yang berlaku berpusat di negara Mexico serta laporan kes berkaitan di beberapa negara termasuk di Amerika Syarikat dan Kanada baru- baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Wabak tersebut sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Membimbangkan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern).

Selesema atau Influenza Khinzir adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan (respiratori) yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya khinzir disebabkan oleh virus influenza jenis A. Pada kebiasaannya wabak haiwan ini tidak menjangkiti manusia, walaubagaimanapun, seperti laporan baru-baru ini jangkitan luarbiasa yang melibatkan penyebaran dari manusia ke manusia telah dilaporkan akibat dari virus influenza khinzir ini yang mana telah disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (Centre for Disease Control – USA) dan juga WHO.
 
Dari maklumat yang terkini, jangkitan influenza khinzir manusia ini disyaki telah melibatkan ribuan kes di negara Mexico termasuk beberapa kematian. Negara-negara lain yang telah melaporkan kes yang telah disahkan termasuk Amerika Syarikat dan Kanada. Sementara itu, beberapa negara lain (iaitu New Zealand, Perancis dan Sepanyol) juga telah melaporkan kes-kes yang disyaki yang mana kebanyakan kes-kes berkenaan jatuh sakit setelah kembali dari mengunjungi negara Mexico.
 
Penyakit influenza khinzir manusia boleh menjejaskan semua peringkat umur dan tanda-tanda penyakit tersebut adalah serupa dengan demam selesema biasa seperti:

  • Demam panas (38ºC)

  • Sakit tekak

  • Batuk-selesema

  • Sakit pernafasan

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh Wabak ini. Walaubagaimanapun, jika awda perlu mengunjungi negara-negara berkenaan, awda DIPERLUKAN untuk mengambil langkah-langkah berwaspada seperti:

  • Mengelakkan tempat-tempat yang sesak

  • Mengelakkan daripada mendampingi orang-orang yang dijangkiti demam selesema

  • Mengamalkan tabiat kebersihan diri seperti mencuci tangan selepas ke tandas dan sebelum makan dan menutup mulut ketika batuk dan bersin

Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara ini. Orang ramai tidak perlu merasa cemas jika menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema biasa ini terkecuali jika awda telah mengunjungi tempat-tempat yang terjejas seperti Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas dan New York di Amerika Syarikat dan Kanada dalam jangkamasa 7-10 hari yang lalu. Dalam hal ini’ awda perlu menjauhkan diri dari orang lain dan segera berjumpa di pusat-pusat kesihatan atau hospital yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan doctor dan rawatan seterusnya.

Dalam masa yang sama, jika awda telah mengunjungi tempat-tempat yang dinyatakan di atas adalah disarankan untuk menghubungi Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan bagi tujuan pemantauan melalui talian 2382023.
 
Kementerian Kesihatan berterusan memantau dengan rapi kedudukan Wabak ini secara global. Dengan kerjasama agensi-agensi yang berkenaan, kementerian ini akan mengambil langkah-langkah berwaspada serta siap siaga mengikut garispandu antarabangsa dan maklumat terkini dari WHO.

Di antara langkah-langkah yang telah diambil termasuk:

  • Peningkatan surveilans demam-selesema (influenza-like illness surveillance) dan pneumonia di pusat-pusat kesihatan dan hospital seluruh negara

  • Peningkatan pemantauan di pos-pos kawalan sempadan, termasuk melaksanakan thermal scanning dan pengisian Borang Deklarasi Kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa ,Berakas

  • Penelitian dan penyediaan keperluan, rawatan dan pencegahan yang mencukupi

  • Penyebaran maklumat mengenai wabak ini kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan

  • Penyebaran maklumat mengenai wabak ini kepada orang ramai melalui media, laman web, poster dan risalah

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian telefon Health Line, Kementerian Kesihatan - 2384234.


-TAMAT-

Tarikh: 2 Jamadilawal 1430 / 27 April 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.