Search this site

 

SITUASI TERKINI SELESEMA KHINZIR MANUSIA ( HUMAN SWINE INFLUENZA A)
 

Berikutan dengan kejadian Wabak Selesema Khinzir Manusia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Waspada Pandemik Influenza (Influenza Pandemic Alert) ke tahap fasa 4. Peningkatan tahap ini dari fasa 3 ke fasa 4 adalah berdasarkan data epidemiologi yang menunjukkan jangkitan dari manusia ke manusia dan membolehkan virus berkenaan menyebabkan wabak di peringkat masyarakat.

Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau keadaan di seluruh negara dari pusat-pusat kesihatan dan juga hospital-hospital di seluruh negara.

Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara ini. Walau bagaimanapun pada masa ini, Kementerian Kesihatan terus meningkatkan langkah-langkah pemantauan pengunjung-pengunjung yang balik ke negara ini dari tempat-tempat yang terjejas seperti Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas dan New York di Amerika Syarikat, Sepanyol dan Kanada.

Kementerian Kesihatan pada masa ini, sedang meneliti dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga terhadap perihal dua orang yang menghidap demam influenza (seorang warga Negara Brunei Darussalam dan seorang Penduduk Tetap) yang mana baru pulang ke negara ini, setelah kembali dari mengunjungi negara Kanada pada 27 April 2009.

Kedua pesakit ini sedang menjalani pemeriksaan rapi dan menjalani rawatan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong. Sejauh ini, hasil pemeriksaan klinikal dan penyiasatan epidemiologi tidak menunjukkan bahawa mereka mempunyai risiko jangkitan Selesema Khinzir Manusia.

Sekali lagi, Kementerian ini mengingatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh Wabak ini. Di samping itu, bagi mereka yang kurang sihat dan mengalami demam selesema agar menangguhkan perjalanan mereka sehingga sembuh. Akan tetapi, orang ramai tidak perlu merasa cemas jika menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema biasa ini terkecuali jika awda telah mengunjungi tempat-tempat yang terjejas.

Dalam masa yang sama, jika awda telah mengunjungi tempat-tempat yang dinyatakan di atas adalah disarankan sekali lagi untuk menghubungi Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan bagi tujuan pemantauan melalui talian 2382023. Dikesempatan ini, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dan waktu melawat di hospital-hospital, terutama sekali untuk tidak membawa kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah melawat ke hospital. Ini adalah untuk sama-sama memelihara kesejahteraan pesakit dan keselamatan orang awam.

Kementerian ini sekali lagi menyarankan bagi orang ramai bagi menghubungi talian telefon Health Line, Kementerian Kesihatan - 2384234 untuk maklumat lanjut.


-TAMAT-

Tarikh: 3 Jamadilawal 1430 / 28 April 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.