Search this site

 

SITUASI TERKINI siri ke 3 - SELESEMA KHINZIR MANUSIA (HUMAN SWINE INFLUENZA A)
 

Berikutan dengan kejadian Wabak Selesema Khinzir Manusia, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa sehingga kini negara-negara yang melaporkan kes Selesema Khinzir melalui pengesahan makmal ialah Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas, New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Israel. Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

Mengenai dengan status dua kes yang menjalani rawatan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, setelah kembali dari negara yang terjejas baru-baru ini, didapati hasil ujian darah bagi kedua kes berkenaan telah menunjukkan negatif pada jangkitan Selesema Khinzir Manusia. Mereka telah dikeluarkan (‘discharge’) dari hospital tersebut pada hari ini, dan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan susulan yang berpatutan.

Kementerian Kesihatan telah meneruskan langkah-langkah berwaspada dengan mengaktifkan pelaksanaan Pelan Pandemik Infuenza yang sedia ada. Pelan ini adalah bertujuan untuk bersiap sedia menghadapi pandemik influenza, termasuk Selesema Khinzir Manusia dari berleluasa di Negara ini. Ianya meliputi aspek kawalan, pencegahan, surveilan penyakit, pengurusan rawatan pesakit, logistik dan bantuan teknikal, bantuan makmal, media dan komunikasi, tenaga kerja, dan kawalan jangkitan.

Kementerian ini sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh Wabak ini, kecuali jika perlu. Di samping itu, bagi mereka yang kurang sihat dan mengalami demam selesema agar menangguhkan perjalanan mereka sehingga sembuh. Akan tetapi, orang ramai tidak perlu merasa cemas jika menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema biasa ini terkecuali jika awda telah mengunjungi tempat-tempat yang terjejas.

Dalam masa yang sama, jika awda telah mengunjungi tempat-tempat yang dinyatakan di atas adalah disarankan untuk menghubungi Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan bagi tujuan pemantauan melalui talian 2382023.

Kementerian ini sekali lagi menyarankan bagi orang ramai bagi menghubungi talian telefon Health Line, Kementerian Kesihatan - 2384234 untuk maklumat lanjut.


-TAMAT-

Tarikh: 4 Jamadilawal 1430 / 29 April 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.