Search this site

 

SITUASI TERKINI siri ke 4 - SELESEMA KHINZIR MANUSIA (HUMAN SWINE INFLUENZA A)
 

Berikutan dengan kejadian Wabak Selesema Khinzir Manusia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan peningkatan Waspada Pandemik Influenza (Influenza Pandemic Alert) dari fasa 4 ke fasa 5. Fasa 5 bermakna jangkitan manusia ke manusia telah berlaku sekurang-kurangnya di dalam dua buah negara atau lebih. Negara-negara yang telah melaporkan kes Selesema Khinzir yang disahkan ialah Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas, New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada, New Zealand, United Kingdom, Israel, Germany dan Austria. Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan telah meningkatkan langkah-langkah waspada melalui pelaksanaan Pelan Pandemik Infuenza yang sedia ada. Ini termasuk meningkatkan pemantauan pengunjungpengunjung ke Negara ini melalui sempadan, dengan meneruskan thermal scanning dan pengisian Borang Deklarasi Kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa dan pos-pos kawalan. Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh Wabak ini. Di samping itu, bagi mereka yang kurang sihat dan mengalami demam selesema agar menangguhkan perjalanan mereka sehingga sembuh. Orang ramai tidak perlu merasa cemas jika menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema biasa, kecuali jika mereka telah mengunjungi tempat-tempat yang terjejas. Akan tetapi, mereka dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di Pusat-Pusat Kesihatan dan klinik-klinik yang berdekatan.

Orang ramai juga dinasihatkan mengambil langkah-langkah yang tersebut untuk mengurangkan risiko dijangkiti Selesema Khinzir:

  • Elakkan mendampingi orang yang mempunyai simptom influenza (ini termasuk demam, sakit tekak, batuk, hidung berair)

  • Elakkan tempat-tempat yang sesak

  • Pastikan persekitaran dan diri dalam keadaan bersih. Tutup hidung dan mulut dengan tisu atau tangan ketika bersin atau batuk.

  • Sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas, sebelum makan dan ketika dicemari oleh cairan pernafasan seperti selepas bersin.

  • Kekalkan ketahanan badan yang baik melalui permakanan yang seimbang, senaman, rehat yang cukup, pengurangan stres dan tidak merokok.

  • Mematuhi peraturan dan waktu melawat di hospital-hospital, terutama sekali untuk tidak membawa ke hospital kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah.

Jika awda telah mengunjungi negara-negara yang terjejas, adalah disarankan untuk menghubungi Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan bagi tujuan pemantauan melalui talian 2382023.

Orang ramai boleh menghubungi talian Health Line, Kementerian Kesihatan – 2384234 untuk maklumat lanjut.


-TAMAT-

Tarikh: 5 Jamadilawal 1430 / 30 April 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.