Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) SIRI Ke 5 -YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN MENINJAU THERMAL SCANNING DI POS KAWALAN SUNGAI TUJOH
 

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan hari ini meninjau dengan lebih dekat langkah-langkah pemantauan penyakit Influenza A (H1N1) bagi pengunjung-pengunjung ke Negara ini melalui sempadan di Pos Kawalan Sungai Tujoh Kuala Belait. Langkah pemantauan melalui “Thermal Scanning” adalah bagi mengesan penumpang dan pengunjung yang menghidap demam panas (mempunyai suhu badan 37.8 ⁰C ke atas ), iaitu satu tanda awal influenza A (H1N1), terutama mereka yang barubaru ini telah berkunjung ke negara-negara yang terjejas.

Disamping pemeriksaan “Thermal Scanning”, pemantauan juga diteruskan dengan pengisian Borang Deklarasi Kesihatan semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa dan pos-pos kawalan iaitu Sungai Tujoh Kuala Belait, Terminal Feri Serasa dan Pos Kawalan Kuala Lurah. Menurut Seksyen 7, Perintah Penyakit Berjangkit 2003, para pengunjung yang masuk ke negara ini dikehendaki mengisi dengan lengkap dan betul, setiap ruang dalam Borang Deklarasi Kesihatan dan menyerahkannya kepada Pegawai Bertugas semasa ketibaan.

Dalam pada itu sebagai langkah bersepadu orang ramai diingatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh Wabak ini, begitu juga, Bagi yang kurang sihat dan mengalami demam selesema, mereka dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan mereka sehingga sembuh. Jika menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema biasa, hendaklah mendapatkan rawatan.

Sehingga kini, negara-negara yang telah melaporkan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan ialah Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas, New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada, New Zealand, United Kingdom, Israel, Germany, Austria, Italy, Costa Rica, Perancis, Ireland dan Republik Korea. Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

Langkah-langkah surveilans juga dilaratkan di hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan, semua pelawat dan pesakit akan diperiksa di Meja Flu (Flu Desk) untuk pemeriksaan suhu badan bagi mengesan demam panas; terutama sekali bagi mereka yang pernah mengunjungi negara-negara yang terjejas.

Sebagai langkah pencegahan, pelawat-pelawat yang menghidap demam panas atau mempunyai simptom-simptom flu dinasihatkan supaya tidak mengunjungi hospital. Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dan waktu melawat di hospital-hospital, terutama sekali untuk tidak membawa kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah melawat ke hospital. Langkah-langkah ini adalah untuk sama-sama memelihara kesejahteraan pesakit dan keselamatan orang awam.

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 2384234 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.


-TAMAT-

Tarikh: 9 Jamadilawal 1430 / 4 Mei 20099
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.