Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) SIRI 7 - LAWATAN YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN KE “FLU DESK” PUSAT KESIHATAN RIMBA GADONG
 

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan pagi ini membuat lawatan ke Pusat Kesihatan Rimba Gadong bagi meninjau dengan lebih dekat pelaksanaan langkah-langkah survelans dan persiapan bagi menangani penyakit Influenza A (H1N1).

Di pusat berkenaan, pelawat dan pesakit diperiksa di Meja Flu (Flu Desk) untuk pemeriksaan suhu badan bagi mengesan demam panas (suhu badan 37.8 ⁰C ke atas ), iaitu satu tanda awal influenza A (H1N1); terutama sekali bagi mereka yang pernah mengunjungi negara-negara yang terjejas. Langkah ini juga dikendalikan di hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan seluruh negara.

Di samping itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga meninjau stok ubat-ubatan (Tamiflu dan Relenza) dan PPE (Personal Protective Equipment) bagi mempastikan ianya mencukupi. Selain daripada itu, Kementerian Kesihatan juga meningkatkan lagi keupayaan makmal untuk menjalankan ujian, disamping usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit ini dan cara-cara mengelakkannya.

Orang ramai dinasihatkan sekali lagi bagi mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi kesihatan daripada risiko dijangkiti Influenza A (H1N1). Tutup hidung dan mulut dengan tisu atau tangan ketika bersin atau batuk. Sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air, terutama sekali selepas bersin atau batuk, elakkan mendampingi orang yang dijangkiti demam selesema, jika sakit berehat di rumah supaya tidak berjangkit kepada orang lain.

Sehingga kini, negara-negara yang telah melaporkan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan ialah Amerika Syarikat, Austria, Canada, China, Hong Kong (Special Administrative Region), Costa Rica, Colombia, Denmark, El Salvador, Perancis, Germany, Ireland, Israel, Italy, Mexico, Netherlands, New Zealand, Portugal, Republik Korea, Sepanyol, Switzerland dan United Kingdom. Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 2384234 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.


-TAMAT-

Tarikh: 10 Jamadilawal 1430 / 5 Mei 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.