Search this site

 

INFLUENZA A (H1N1) SIRI Ke 12 -  MESYUARAT KHAS MENTERI-MENTERI KESIHATAN ASEAN PLUS THREE MENGENAI SELSEMA A (H1N1)
 

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three (Republik Rakyat China, Republik Korea, dan Jepun) Mengenai Selsema A (H1N1) telah berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8 Mei 2009. Mesyuarat telah dihadiri oleh kesemua menteri-menteri kesihatan negara ASEAN Plus Three terkecuali Myanmar.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan bersama beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat telah dibuka rasmi oleh Tuan Yang Terutama Abhisit Vejjajiva, Perdana Menteri Thailand selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN.

Mesyuarat antara lain telah berkongsi maklumat berhubung dengan situasi terkini di negaranegara ASEAN mengenai wabak Selsema A (H1N1) secara global dan rantau ASEAN dan bertukar pendapat mengenai langkah-langkah terkini yang telah diambil oleh Negara-Negara Ahli ASEAN Plus Three. Turut dibincangkan juga ialah strategi, langkah-langkah dan tindakan-tindakan bersepadu yang perlu bagi menangani wabak Selsema A (H1N1) di rantau ASEAN, dan menekankan perlunya menjana kesepakatan dan komitmen politikal bagi menghadapi situasi ini.

Di Mesyuarat tersebut, Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three juga telah bersepakat mengeluarkan satu Kenyataan Bersama mengenai Selsema A (H1N1). Kenyataan ini menghuraikan komitment Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three untuk mempertingkatkan kerjasama dalam menangani ancaman wabak Selsema A (H1N1) dan bagi menguatkuasakan lagi usaha masing-masing di dalam persediaan menghadapi kemungkinan pandemik. Ini meliputi diantaranya aspek:

  • Perlaksanaan berterusan Pelan Siapsiaga Kebangsaaan Pandemik dan meningkatkan usaha survailans influenza manusia dan haiwanserta sistem tindakan yang efektif

  • Meningkatkan keupayaan utama kebangsaan (national core capacity) ke arah perlaksanaan keperluan International Health Regulation (IHR) 2005 khususnya survailans tindakantindakan efektif

  • Penggunaan protokol kebangsaan oleh pihak-pihak yang berkuasa bagi mempastikan komunikasi antara sektor dan tindakan yang berkesan serta maklumat awam yang efektif agar membolehkan langkah-langkah awam yang bersesuaian dilaksanakan tanpa menimbulkan huru-hara dan gangguan ketenteraman sosial.

  • Menimbangkan penubuhan, di negara-negara ASEAN Plus Three, satu sistem bagi memudahcara perkongsian keperluan utama di rantau ini jika berlakunya kecemasan awam.

Mesyuarat juga di dalam menghargai perlunya usaha sepadu oleh negara-negara di rantau ini bagi tindakan yang effektif untuk menangani pandemik Selsema A (H1N1), membuat komitmen untuk, diantaranya untuk:

  • Mematuhi saranan-saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perjalanan antarabangsa agar gangguan sosial dan ekonomi masyarakat serantau dan global tidak berlaku

  • Mendorong kerjasama serantau termasuk mempastikan perkongsian data dan maklumat

  • Menubuhkan pasukan bersama (joint team) bagi penyiasatan wabak dan pasukan tindakan di antara negara-negara, jika bersesuaian dan dipohonkan.

  • Meningkatkan keupayaan makmal bagi mendokong penyiasatan dan pengesahan Selsema A (H1N1) serta penyelidikan.

Semasa mesyuarat telekonferens telah diadakan dengan pihak-pihak berkuasa di bidang kesihatan termasuk bersama Dr Margaret Chan, Pengarah Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tuan Yang Terutama Setiausaha Center of Disease Control (CDC), Amerika Syarikat.

Dalam ucapan Pengarah Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Margaret Chan menghargai usaha-usaha negara-negara dunia terhadap persediaan menangani Pandemik Influenza yang mana telah banyak membantu di dalam menghadapi ancaman Selsema A (H1N1) ini. Beliau juga menekankan perlunya rangka-rangka pelan tindakkan kebangsaan untuk ditingkatkan termasuk perhatian terhadap keperluan dan keupayaan bagi persediaan jika sekiranya Selsema A (H1N1) ini merebak lebih berleluasa lagi. Dr Margaret Chan juga menyarankan dalam masa yang sama untuk tidak mengetepikan perhatian terhadap ancaman jangkitan Influenza Selsema Burung (H5N1).

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three Mengenai Selsema A (H1N1) telah didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan pada 7 Mei 2009 sebagai persediaan kepada Mesyuarat di peringkat Menteri. Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Dato Paduka Haji Abd Salam bin Abd Momin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan.
 

-TAMAT-

Tarikh: 13 Jamadilawal 1430 /  8 Mei 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.