Yang Dimuliakan
Pehing Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato
Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah,
Pemangku Menteri Kesihatan pagi ini membuat
lawatan ke Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam
Temburong bagi meninjau dengan lebih dekat
pelaksanaan langkahlangkah survelans dan
persiapan dalam menangani Influenza A (H1N1).
Ini termasuk pemeriksaan pelawat dan pesakit di
Meja Flu (Flu Desk) untuk pemeriksaan suhu badan
bagi mengesan demam panas, iaitu satu tanda awal
influenza A (H1N1); terutama sekali bagi mereka
yang pernah mengunjungi negara-negara yang
terjejas. Selain itu Yang Dimuliakan Pemangku
Menteri Kesihatan juga meninjau stok ubat-ubatan
dan PPE (Personal Protective Equipment) bagi
mempastikan ianya mencukupi.
Yang Dimuliakan Pemangku Menteri Kesihatan juga
membuat lawatan ke Pos Kawalan Labu dan Pos
Kawalan Puni, yang mana pemeriksaan “Thermal
Scanning” dan pengisian Borang Deklarasi
Kesihatan diteruskan, bagi pengunjung-pengunjung
yang tiba ke Negara ini. Menurut Seksyen 7,
Perintah Penyakit Berjangkit 2003, para
pengunjung yang masuk ke negara ini dikehendaki
mengisi dengan lengkap dan betul, setiap ruang
dalam Borang Deklarasi Kesihatan dan
menyerahkannya kepada Pegawai Bertugas semasa
ketibaan.
Dalam pada itu sebagai langkah bersepadu orang
ramai diingatkan supaya menangguhkan perjalanan
ke negara-negara yang terjejas oleh Wabak ini.
Bagi yang kurang sihat dan mengalami demam
selesema, mereka dinasihatkan supaya
menangguhkan perjalanan sehingga sembuh. Jika
menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema
biasa, hendaklah mendapatkan rawatan.
Sehingga kini, negara-negara yang telah
melaporkan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan
ialah Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas,
New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada,
Colombia, Denmark, El Salvador, Guatemala,
Ireland, Netherlands, New Zealand, Poland,
Portugal, Sweden, Switzerland, United Kingdom,
Israel, Germany, Austria, Italy, Costa Rica,
Perancis, Ireland dan Republik Korea. Sejauh ini,
tiada kes dilaporkan di Negara Brunei
Darussalam.
Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang
dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh
diperolehi dengan menghubungi Healthline 145
atau layari laman web Kementerian Kesihatan
melalui www.moh.gov.bn.
-TAMAT-
Tarikh: 14 Jamadilawal
1430 / 9 Mei 2009