Search this site

 

Situasi terkini Influenza A (H1N1) Siri ke 18 - Yang Dimuliakan Pemangku Menteri Kesihatan meninjau Pos Kawalan Kuala Lurah 
 

Yang Dimuliakan Pehing Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Pemangku Menteri Kesihatan hari ini meninjau dengan lebih dekat langkah-langkah pemantauan penyakit Influenza A (H1N1), bagi pengunjung-pengunjung ke Negara ini melalui Pos Kawalan Kuala Lurah. Langkah pemantauan sempadan melalui “Thermal Scanning” adalah bagi mengesan penumpang dan pengunjung yang menghidap demam panas (mempunyai suhu badan 37.8 °C ke atas ), iaitu satu tanda awal influenza A (H1N1), terutama bagi  mereka yang baru-baru ini telah berkunjung ke negara-negara yang terjejas.

Di samping pemeriksaan “Thermal Scanning”, pemantauan juga diteruskan dengan pengisian Borang Deklarasi Kesihatan semasa tiba di Pos-Pos Kawalan iaitu Kuala Lurah, Sungai Tujoh Kuala Belait, Labu dan Puni, Daerah Temburong, Terminal Feri Serasa dan Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas. Menurut Seksyen 7, Perintah Penyakit Berjangkit 2003, para pengunjung yang masuk ke negara ini dikehendaki mengisi dengan lengkap dan betul, setiap ruang dalam Borang Deklarasi Kesihatan dan menyerahkannya kepada Pegawai Bertugas semasa ketibaan.

Dalam pada itu sebagai langkah bersepadu, orang ramai diingatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh Wabak ini. Begitu juga bagi yang kurang sihat dan mengalami demam selesema, mereka dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan mereka sehingga sembuh. Jika menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema biasa, hendaklah mendapatkan rawatan.

Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam. Di seluruh dunia, 9,830 kes telah dilaporkan dengan 79 kematian sehingga kini. Negara-negara yang telah melaporkan telah mengenai wabak ini adalah sebanyak 41 negara iaitu Argentina (1), Australia (1), Austria (1), Belgium (5), Brazil (8), Canada (496), Chile (4), China (7), Colombia (11), Costa Rica (9), Cuba (3), Denmark (1), Ecuador (1), El Salvador (6), Finland (2), Germany (14), Guatemala (3), Hong Kong (3), India (1), Ireland (1), Israel (7), Italy (9), Japan (159), Malaysia (2), Mexico (3648), Netherlands (3), New Zealand (9), Norway (2), Panama (59), Perancis (14), Peru (2), Poland (1), Portugal (1), Republik  Korea (3), Sepanyol  (103), Sweden (3), Switzerland (1), Thailand (2), Turkey (2) dan United Kingdom (102), dan United States of America (5123).

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 145 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.


-TAMAT-

 
Tarikh: 26 Jamadilawal 1430 / 21 Mei 2009

 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.