Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) SIRI Ke 19 TAKLIMAT MEDIA (PRESS BRIEFING
 

Kementerian Kesihatan hari ini mengadakan satu taklimat media mengenai situasi terkini Influenza A (H1N1), disampaikan oleh Pg. Dr. Hj. Md Khalifah bin Pg. Hj. Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan.

Kementerian Kesihatan terus meningkatkan langkah-langkah waspada dan pemantauan Influenza A (H1N1) melalui pemeriksaan kesihatan (entry screening) terhadap pengunjung-pengunjung yang balik atau masuk ke negara ini, terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas bagi penumpang-penumpang dari pesawat-pesawat yang tiba dari negara-negara terjejas. Semua pos kawalan di sempadan juga mempertingkatkan langkah-langkah pemantauan yang sama. Hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan telah menyediakan ‘flu desk’ bagi pemantauan pesakit dan pelawat.

Sejauh ini, dari hasil pemantauan tersebut, didapati seramai 45 kes yang “disyaki“ (suspect case) telah dikesan dan hasil ujian darah semuanya menunjukkan negatif bagi Influenza A (H1N1). Baru-baru ini, 1 kes yang “berkemungkinan” (probable case) telah dikesan melalui ujian awal, menunjukkan positif bagi Influenza A, tetapi hasil ujian makmal selanjutnya adalah negatif bagi Influenza A (H1N1). Kes berkenaan sedang dirawat di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Tutong.
 
Pengertian bagi kes yang “disyaki” adalah mereka yang mempunyai demam panas dan/atau simptom-simptom flu atau sakit pernafasan (termasuk cirit-birit dan muntah-muntah) dan telah berkunjung ke negara yang terjejas dalam 7 hari yang lalu atau mempunyai kontak dengan kes yang disahkan dalam 7 hari yang lalu.

Manakala kes yang “berkemungkinan” adalah seperti yang disyaki tetapi hasil ujian awal adalah positif bagi Influenza A sahaja.

Kes yang “disahkan” adalah merupakan kes “berkemungkinan” tetapi hasil ujian menunjukkan positif bagi Influenza A (H1N1).

Menurut prosedur pengurusan pesakit, kes yang “berkemungkinan” dan yang “disyaki” akan diasingkan dan dirawat di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Tutong, sehingga hasil ujian pengesahan diperolehi. Manakala menunggu keputusan tersebut, ahli keluarga terdekat serta kontak terdekat akan dikuarantin di rumah atau di tempat-tempat yang ditetapkan dan dipantau bagi tempoh yang bersesuaian sehingga tidak melebihi 10 hari.

Kementerian Kesihatan sekali lagi menasihatkan orang ramai untuk seboleh-bolehnya menangguhkan perjalanan ke negara-negara terjejas, terutama sekali di mana ada berlakunya jangkitan dari manusia ke manusia di kalangan masyarakat semasa musim cuti penggal persekolahan yang akan datang, kecuali jika perlu.

Bagi yang kurang sihat dan mengalami demam selesema, mereka dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan sehingga sembuh. Jika menghadapi tanda-tanda penyakit demam selesema biasa, hendaklah mendapatkan rawatan.

Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam. Di seluruh dunia, 11, 993 kes Influenza A (H1N1) telah dilaporkan dengan 86 kematian. Negara-negara yang telah melaporkan adalah sebanyak 42 negara iaitu Argentina (1), Australia (7), Austria (1), Belgium (5), Brazil (8), Canada (719), Chile (24), China (11), Colombia (12), Costa Rica (20), Cuba (4), Denmark (1), Ecuador (8), El Salvador (6), Filipina (1), Finland (2), Germany (14), Greece (1), Guatemala (4), India (1), Ireland (1), Israel (7), Italy (10), Japan (294), Malaysia (2), Mexico (3892), Netherlands (3), New Zealand (9), Norway (3), Panama (73), Perancis (16), Peru (5), Poland (2), Portugal (1), Republik Korea (3), Sepanyol (113), Sweden (3), Switzerland (1), Thailand (2), Turkey (2) , United Kingdom (112), dan United States of America (5764).

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 145 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.
 

-TAMAT-


Tarikh: 28 Jamadilawal 1430 / 23 Mei 2009  

 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.