Search this site

 

Situasi terkini Influenza A (H1N1) - Siri Ke 20 taklimat kepada penghulu dan ketua kampong 
 

Dalam usaha Kementerian Kesihatan ke arah memberikan maklumat dan penerangan mengenai Influenza A (H1N1) bagi meningkatkan kefahaman kepada penghulu-penghulu, ketua-ketua kampong dan ketua-ketua rumah panjang di ke empat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam, satu taklimat telah diadakan pada hari ini. Taklimat ini merupakan usahasama di antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Penyebaran maklumat ini adalah penting dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Siapsiaga Kementerian Kesihatan pada menangani Wabak Influenza A (H1N1).
 
Taklimat Influenza A (H1N1) ini dihadiri oleh seramai 230 orang Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan Ketua-Ketua Rumah Panjang di seluruh negara. Antara kandungan taklimat ialah definisi Influenza A (H1N1), situasi sejagat (Laporan terkini), situasi dalam negara iaitu langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan serta langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mencegah flu dan penyakit-penyakit pernafasan (respiratori). Sesi taklimat ini bertempat di Dewan Muhibbah, Berakas dan disampaikan oleh Dr Hajah Norhayati binti Haji Md Kassim, Pegawai Perubatan Kanan Bahagian Kesihatan, Ketua Pusat Promosi Kesihatan.
 
Poster-poster dan risalah-risalah yang mengandungi maklumat mengenai Influenza A telah diagihkan kepada yang hadir.

Dengan adanya sesi taklimat berkenaan, diharapkan agar maklumat mengenai Influenza A (H1N1) akan dapat disalurkan kepada yang berkenaan dan seterusnya memberikan pengetahuan khususnya kepada anak-anak buah kampong, dan kepada rakyat dan penduduk di seluruh negara dalam sama-sama berwaspada dan berjaga-jaga dalam pencegahan penyakit merebak di negara ini.

Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam. Di seluruh dunia, 12,022 kes Influenza A (H1N1) telah dilaporkan dengan 86 kematian. Negara-negara yang telah melaporkan adalah sebanyak 43 negara iaitu Argentina (1), Australia (12), Austria (1), Belgium (7), Brazil (8), Canada (719), Chile (24), China (11), Colombia (12), Costa Rica (20), Cuba (4), Denmark (1), Ecuador (8), El Salvador (6), Filipina (1), Finland (2), Germany (17), Greece (1), Guatemala (4), India (1), Ireland (1), Israel (7), Italy (14), Japan (321), Malaysia (2), Mexico (3892), Netherlands (3), New Zealand (9), Norway (4), Panama (76), Perancis (16), Peru (5), Poland (2), Portugal (1), Republik Korea (3), Russia (1), Sepanyol (126), Sweden (3), Switzerland (2), Thailand (2), Turkey (2) , United Kingdom (117), dan United States of America (6552).

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 145 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.


-TAMAT-


Tarikh: 30 Jamadilawal 1430 / 25 Mei 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.