Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) SIRI KE 21 - TAKLIMAT KEPADA PESURUHJAYA-PESURUHJAYA TINGGI DAN DUTA-DUTA ASING DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 

Dalam usaha Kementerian Kesihatan ke arah memberikan maklumat dan penerangan mengenai Influenza A (H1N1) satu lagi sesi taklimat telah diberikan pada petang ini kepada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Asing di Negara Brunei Darussalam. Taklimat ini merupakan usahasama di antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
 
Taklimat Influenza A (H1N1) ini didahului dengan ucapan alu-aluan oleh Dato Paduka Haji Abd Salam bin Haji Momin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan. Ianya dihadiri oleh seramai lebih kurang 30 orang Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Duta-Duta Asing serta pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Jabatan Pertanian dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan. Antara kandungan taklimat ialah laporan terkini tentang Influenza A (H1N1), situasi sejagat dan situasi negara ini dan langkah-langkah siapsiaga dan respon yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan dalam menangani Influenza A (H1N1). Sesi taklimat ini bertempat di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan dan disampaikan oleh Dr Hajah Maslina binti Hj Mohsin, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan.

Penyebaran maklumat ini adalah penting dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Siapsiaga Kementerian Kesihatan pada menangani Wabak Influenza A (H1N1). Risalah-risalah yang mengandungi maklumat mengenai Influenza A (H1N1) telah diberikan kepada yang hadir.

Diharap sesi taklimat ini akan memberikan maklumat yang berguna kepada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Asing mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan dalam menangani dan melindungi rakyat dan penduduk negara ini daripada Influenza A (H1N1).

Sejauh ini, tiada kes dilaporkan di Negara Brunei Darussalam. Di seluruh dunia, 12,566 kes Influenza A (H1N1) telah dilaporkan dengan 91 kematian. Negaranegara yang telah melaporkan adalah sebanyak 46 negara iaitu Argentina (2), Australia (16), Austria (1), Belgium (7), Brazil (9), Canada (805), Chile (44), China (15), Colombia (13), Costa Rica (28), Cuba (4), Denmark (1), Ecuador (10), El Salvador (6), Filipina (1), Finland (2), Germany (17), Greece (1), Guatemala (4), Honduras (1), Iceland (1), India (1), Ireland (1), Israel (8), Italy (19), Japan (345), Kuwait (18), Malaysia (2), Mexico (4174), Netherlands (3), New Zealand (9), Norway (4), Panama (76), Perancis (16), Peru (25), Poland (3), Portugal (1), (3), Russia (1), Sepanyol (133), Sweden (3), Switzerland (3), Thailand (2), Turkey (2) , United Kingdom (122), dan United States of America (6552).

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 145 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.


-TAMAT-


Tarikh: 2 Jamadilakhir 1430 / 26 Mei 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.