Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) SIRI KE 22 - TAKLIMAT MENGENAI INFLUENZA A (H1N1) DI TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI PANGKALAN MUARA
 

Dalam usaha Kementerian Kesihatan ke arah memberikan maklumat dan penerangan mengenai Influenza A (H1N1) bagi meningkatkan kefahaman kepada orang ramai, taklimat mengenai Influenza A (H1N1) akan diadakan pada hari ini, bertempat di Dewan Serbaguna Tentera Laut DirajaBrunei, Pangkalan Muara. Ianya dihadiri oleh lebih kurang 180 orang kakitangan awam Kementerian Pertahanan. Penyebaran maklumat kepada orang ramai terutamanya pihak yang yang berkenaan adalah penting dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Siapsiaga Kementerian Kesihatan pada menangani wabak Influenza A (H1N1).
 
Antara kandungan taklimat ialah definisi Influenza A (H1N1), situasi sejagat (Laporan terkini) dan situasi dalam negara, iaitu langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan serta langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mencegah flu dan penyakit-penyakit pernafasan (respiratori). Sesi taklimat ini disampaikan oleh Dr Alice Lai, Pegawai Perubatan Kes Cara Kerja, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan. Poster-poster dan risalah-risalah yang mengandungi maklumat mengenai Influenza A telah diagihkan kepada peserta-peserta yang hadir.

Dengan adanya sesi taklimat berkenaan, diharapkan agar maklumat mengenai Influenza A (H1N1) akan dapat disalurkan kepada yang berkenaan dan seterusnya memberikan pengetahuan, khususnya kepada anggota tentera dan pihak awam di bawah Kementerian Pertahanan dalam sama-sama mencegah penyakit dari merebak ke negara ini dan menjadikan negara ini bebas dari Influenza A (H1N1).

Di negara Brunei Darussalam tiada kes Influenza A (H1N1) , dan dari aktiviti pemantauan, sebanyak 65 kes yang disyaki telah dilaporkan dan kesemuanya negatif bagi Influenza A (H1N1).

Masa kini, sebanyak 69 negara telah melaporkan mengenai wabak tersebut iaitu Argentina, Australia, Austria, Bahamas, Bahrain, Barbados, Belgium, Bolivia, Brazil, Bulgaria, Canada, Chile, China, Colombia, Costa Rica, Cuba, Cyprus, Czech Republic, Denmark, Dominican Republic, Ecuador, Egypt, El Salvador, Estonia, Finland, France, Germany, Greece, Guatemala, Honduras, Hungary, Iceland, India, Ireland, Israel, Italy, Jamaica, Japan, Kuwait, Lebanon, Luxembourg, Malaysia, Mexico, Netherlands, New Zealand, Nicaragua, Norway, Panama, Paraguay, Peru, Philippines, Poland, Portugal, Romania, Republic of Korea, Russia, Saudi Arabia, Singapore, Slovakia, Spain, Sweden, Switzerland, Thailand, Turkey, United Kingdom, Unites States of America, Uruguay, Venezuela, dan Vietnam.

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 145 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.


-TAMAT-


Tarikh: 14 Jamadilakhir 1430 / 8 Jun 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.