Mesyuarat Kedua
Jawatankuasa Pemantauan dan Menangani Influenza
A (H1N1) berlangsung di Kementerian Kesihatan,
dengan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin
Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji
Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan.
Mesyuarat yang kedua ini diadakan berikutan
pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
tentang peningkatan tahap kewaspadaan Influenza
A (H1N1) daripada Fasa 5 ke Fasa 6 pada 11 Jun
2009. Ini adalah berikutan dengan tahap
penularan virus H1N1 yang berleluasa di seluruh
dunia. Dengan Fasa 6 bererti tahap Pandemik
Influenza diisytiharkan. Berasaskan kepada Plan
Siapsiaga Kementerian Kesihatan, dengan
peningkatan tahap global Fasa 6 ini, Negara
Brunei Darussalam adalah ditahap 6A (negara
belum terjejas).
Mesyuarat telah diberikan taklimat mengenai
situasi terkini mengenai wabak Influenza A
(H1N1) dan tindakan yang telah dan akan diambil
oleh agensi-agensi yang berkenaan untuk
menanganinya. Jawatankuasa ini bertujuan untuk
memantau dan memberi panduan strategik bagi
menghindarkan kemasukan wabak Influenza A (H1N1)
ke negara ini.
Sejauh ini, tiada kes Influenza A (H1N1)
dilaporkan di Negara Brunei Darussalam dan hasil
dari pemantauan, seramai 68 kes yang disyaki
telah diperiksa dan kesemuanya didapati negatif
bagi jangkitan Influenza A (H1N1). Di seluruh
dunia (76 buah negara), sebanyak 29,669 kes
Influenza A (H1N1) telah dilaporkan dengan 145
kematian.
-TAMAT-
Tarikh: 19 Jamadilakhir/ 13 Jun 2009