Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) SIRI KE 25 - DUA WARGA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DIJANGKITI INFLUENZA A (H1N1)
 

Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan orang ramai bahawa dari maklumat Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah, dua orang rakyat Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Arab Saudi telah disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1) oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Kedua-dua mereka sedang dirawat di King Faisal Hospital di Mekkah dan mereka adalah dalam keadaan yang tidak membimbangkan. Menurut laporan berkenaan, mereka telah bertolak dari Negara Brunei Darussalam ke Kuala Lumpur pada 14 Jun 2009. Selepas bermalam di Kuala Lumpur, mereka meneruskan perjalanan ke Jeddah dan tiba pada 15 Jun 2009. Kedua-dua pesakit telah disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1) pada 17 Jun 2009.

Pada masa ini Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan. Kementerian Kesihatan akan memaklumkan perkembangan lanjut mengenai keadaan pesakit-pesakit berkenaan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya seboleh-bolehnya mengelakkan atau menangguhkan perjalanan terutamanya ke kawasan-kawasan terjejas. Jika mereka kembali dari luar negeri dan terdapat tanda-tanda penyakit, dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera. Mereka juga disarankan sebaik-baiknya untuk berehat di rumah dan elakkan dari mengunjungi tempat-tempat dan perhimpunan awam. Orang ramai adalah diperingatkan untuk mengambil langkah-langkah kewaspadaan dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik, terutama sekali semasa berkunjung ke negara-negara lain.

 

-TAMAT-

Tarikh :   24 Jamadilakhir/ 18 Jun 2009  

 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.