Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) SIRI KE 26 - KES PERTAMA INFLUENZA A (H1N1) DI BRUNEI DARUSSALAM DIKENALPASTI
 

Kementerian Kesihatan telah mengesahkan kes pertama Influenza A (H1N1) di Negara Brunei Darussalam. Kes pertama ini ialah seorang warganegara Brunei Darussalam berumur 19 tahun yang sedang menuntut di United Kingdom yang tiba untuk bercuti di tanah air pada 16 Jun 2009. Penuntut berkenaan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda penyakit semasa di dalam penerbangan dan hanya mula mempunyai tanda-tanda penyakit pada 19 Jun 2009 (sebelah malam). Pada 20 Jun 2009, pesakit tersebut telah pergi mendapatkan rawatan di Bahagian Kemalangan dan Kecemasan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Pada masa ini, pesakit berkenaan sedang dirawat di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Daerah Tutong dan tidak berada di dalam keadaan yang membimbangkan.

Oleh kerana pesakit ini hanya mula mempunyai tanda-tanda penyakit lebih dari 12 jam setelah tiba di Negara Brunei Darussalam, pihak Kementerian Kesihatan tidak akan menghubungi penumpang-penumpang di dalam penerbangan BI098 yang tiba dari London Heathrow pada 16 Jun 2009. Ini adalah kerana risiko jangkitan dari pesakit ini kepada penumpang lain pada ketika itu adalah sangat rendah. Walau bagaimanapun, mereka yang baru tiba dari negara-negara yang terlibat adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan sekiranya mempunyai tanda-tanda penyakit Influenza A (H1N1).

Sementara itu, dua orang warganegara Brunei Darussalam yang disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1) di Mekah, Arab Saudi, sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, berada di dalam keadaan yang baik dan telah dibenarkan pulang ke tempat penginapan mereka di Mekah. Mereka akan pulang ke tanah air setelah berakhirnya tempoh kurantin.

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya seboleh-bolehnya mengelakkan atau menangguhkan perjalanan terutamanya ke kawasan-kawasan terjejas. Selain daripada segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan, mereka yang baru kembali dari luar negeri dan mempunyai tanda-tanda penyakit adalah juga dinasihatkan supaya sebaik-baiknya berehat di rumah dan mengelak dari mengunjungi tempat-tempat dan perhimpunan awam. Orang ramai adalah diperingatkan untuk mengambil langkah-langkah kewaspadaan dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik, terutama sekali semasa berkunjung ke negara-negara lain.

 

-TAMAT-


Tarikh:  26 Jamadilakhir 1430 / 20 Jun 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.