Search this site

 

SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1) - SIRI 39 - TAKLIMAT MENGENAI INFLUENZA A (H1N1) DI KEMENTERIAN KEWANGAN DAN KEMENTERIAN PERINDUSTRIAN DAN SUMBER-SUMBER UTAMA
 

Dalam usaha Kementerian Kesihatan ke arah memberikan maklumat dan penerangan mengenai Influenza A (H1N1) bagi meningkatkan kefahaman orang ramai, dua taklimat akan diadakan pada hari ini. Pada sesi sebelah pagi ianya akan diadakan di Kementerian Kewangan, dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Persatuan Bank-Bank Negara Brunei Darussalam. Manakala sesi taklimat sebelah petang telah diadakan di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan dihadiri oleh kira-kira seramai 40 orang Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama serta Pengurus Hotel dan Agensi Pelancongan. Taklimat ini merupakan usahasama di antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama. Penyebaran maklumat kepada orang ramai terutamanya pihak yang yang berkenaan adalah penting dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Siapsiaga Kementerian Kesihatan pada menangani wabak Influenza A (H1N1.

Antara kandungan kedua sesi taklimat ialah definisi Influenza A (H1N1), situasi sejagat (Laporan terkini), situasi dalam negara iaitu langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan serta langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mencegah flu dan penyakit-penyakit pernafasan (respiratori). Kedua-dua sesi taklimat akan disampaikan oleh Dr Harni Haji Bahar, Pemangku Pegawai Perubatan Kanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan.

Poster-poster dan risalah-risalah yang mengandungi maklumat mengenai Influenza A telah diagihkan kepada yang hadir.

Dengan adanya sesi taklimat berkenaan, diharapkan agar maklumat mengenai Influenza A (H1N1) akan dapat disalurkan kepada yang berkenaan dan seterusnya memberikan pengetahuan kepada orang ramai di seluruh negara dalam sama-sama mencegah penyakit dari merebak ke negara ini dan menjadikan negara ini bebas dari Influenza A (H1N1).

Di kesempatan ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar meningkatkan kewaspadaan. Bagi mereka yang baru pulang dari negara-negara yang terjejas, dalam masa 7 hari yang lepas dan mempunyai simptom penyakit, supaya terus berjumpa doktor di pusat-pusat kesihatan atau hospital. Selain itu disarankan agar mengurangkan aktiviti sosial dan tempat-tempat yang sesak dalam masa tujuh hari yang sama seperti:

  • Tempat-tempat keramaian
  • Pusat membeli-belah
  • Pasar-pasar
  • Gerai-gerai
  • Restoran
  • Panggung wayang
  • Kolam renang dan lainnya

Orang ramai diingati sekali lagi untuk membantu mencegah jangkitan pernafasan dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik, seperti berikut:

  • Cuci tangan kerap kali dengan menggunakan sabun dan air, dan mengeringkannya menggunakan tuala pakai buang atau alat pengering tangan.

  • Gunakan tisu tangan pakai buang yang mengandungi alkohol atau gel pembasmi kuman boleh digunakan jika tiada kemudahan mencuci tangan.

  • Tutup hidung dan mulut apabila bersin atau batuk dan buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.

  • Elakkan mendampingi orang yang mempunyai simptom influenza.

  • Elakkan mengunjungi tempat-tempat yang sesak.
     

Maklumat terkini mengenai situasi penyakit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi talian Health Line – 145 atau layari laman web Kementerian Kesihatan melalui www.moh.gov.bn.

 

-TAMAT-

Tarikh : 9 Rejab 1430 / 2 July 2009 
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.