Search this site

 

PERUTUSAN  YANG BERHORMAT PEHIN MENTERI KESIHATAN  SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA
 

Tema Hari Kanser Sedunia yang disambut pada setiap 4 Februari dan pada tahun ini ialah “Kanser Juga Boleh Dicegah” (‘Cancer Can Be Prevented Too’). Ianya bertujuan untuk menggerakan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah yang mudah untuk mencegah penyakit kanser. Empat cara utama ialah berhenti menggunakan produk tembakau; mengamalkan permakanan sihat dan kegiatan fizikal secara berterusan; mencegah jangkitan seperti Hepatitis B yang boleh mengakibatkan kanser; dan tidak mengambil alkohol. Tema ini amat bertepatan dan selaras juga dengan langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan terutama dalam usaha mempromosi dan membudayakan cara hidup sihat di kalangan rakyat dan penduduk di Negara ini.

Kanser merupakan salah satu punca kematian utama di seluruh dunia. Menurut pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan seramai 84 juta orang akan meninggal dunia disebabkan kanser di antara tahun 2005 hingga 2015 jika program pencegahan dan pengawalan tidak dilaksanakan.

Di Negara Brunei Darussalam, penyakit kanser adalah punca utama kematian sejak tahun 2004 hingga 2007, dengan kadar kematian 55.1 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2007. Dari tahun 2002 hingga 2006, Daftar Kanser Kebangsaan Brunei telah mencatatkan sejumlah 1,348 kes kanser yang baru dikenalpasti, iaitu purata 269 kes setiap tahun. Jenis kanser yang lazim dihidapi di kalangan lelaki ialah kanser paru-paru, manakala kanser payudara merupakan kanser utama di kalangan wanita. Lain-lain jenis kanser termasuk kanser serviks (pangkal rahim), ‘endometrium’ dan ‘nasopharynx’. Kes-kes kanser di Negara ini secara perlahan-lahan telah bertambah dan apa yang membimbangkan lagi kes-kes kanser payudara telah dikesan pada peringkat usia yang muda, kanser paru-paru telah meningkat di kalangan bukan perokok dan obesity telah dikaitkan dengan kejadian kanser endometrium pada usia muda.

Kanser merupakan penyakit yang boleh dicegah dan dirawat, yang mana lebih daripada 30 peratus kes-kes kanser boleh dicegah, jika kita mengambil tindakan melalui perubahan cara hidup. Untuk mencegah dan mengawal kejadian penyakit kanser di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan telah mengambil berbagai langkah termasuk pelaksanaan Perintah Tembakau 2005 dan Peraturan-peraturan yang mana berhasrat untuk mengurangkan kadar penggunaan produk tembakau di Negara ini dan juga penyakit kanser paru-paru.

Kementerian Kesihatan mengambil berat akan penyediaan perkhidmatan rawatan yang holistik dan berkualiti tinggi. Bagi memantapkan lagi perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan ini, melalui usahasama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Unit Onkologi (Kanser) di Hospital RIPAS telah dipindahkan secara tetap ke Jerudong Park Medical Centre pada 21hb Disember 2009. Tujuan pemindahan ini adalah untuk menyediakan sebuah Pusat Kanser (Onkologi) Kebangsaan (National Cancer Centre) yang lebih komprehensif sebagai Pusat Rujukan Kebangsaan untuk merawat, mengubat dan mencegah penyakit kanser di Negara ini serta meningkatkan kualiti penghidupan para penghidap penyakit kanser. Pusat ini menyediakan kemudahan yang khusus dan lebih bersesuaian serta selesa untuk pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kanser.

Sempena Hari Kanser Sedunia tahun ini, Kementerian Kesihatan akan menganjurkan aktiviti yang menjurus kepada mendidik dan menambah kefahaman orang ramai tentang langkah-langkah yang mudah untuk mencegah penyakit kanser dan seterusnya menyarankan orang ramai mengubah sikap mereka dengan mengamalkan nasihat-nasihat yang diberikan.
 


-TAMAT-



Tarikh:3 February 2010 /  bersamaan 18 Safar 1431

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.