
Pada Sabtu, 19 November 2011, Hospital PMMPMHAMB Tutong, Kementerian Kesihatan mengadakan ‘Majlis Penutup Program Pengawalan Diabetis’ bertempat di Kantin Lama Hospital PMMPMHAMB Tutong. Tetamu Kehormat bagi Majlis ialah Yang Mulia Awang Mohammad Sabri bin Haji Anuar, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital PMMPMHAMB Tutong.
Unit Permakanan dan sokongan kakitangan Hospital PMMPMHAMB Tutong serta usahasama Pusat-Pusat Kesihatan di Daerah Tutong buat julung-julung kalinya melaksanakan Program Pengawalan Diabetis selama tiga bulan mulai 13hb Ogos 2011 hingga 19hb November 2011.
Tujuan utama Program ini ialah bagi mendidik dan menyalurkan maklumat kepada pesakit yang terpilih mengenai pengawalan penyakit diabetis. Selain daripada itu, Program Pengawalan Diabetis merupakan salah satu inisiatif Hospital ini untuk menyahut visi Kementerian Kesihatan iaitu ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.
Program ini tlah disertai oleh 23 orang pesakit diabetes yang terpilih dari Hospital PMMPMHAMB Tutong, Pusat Kesihatan Pekan Tutong, Pusat Kesihatan Lamunin, Pusat Kesihatan Sungai Kelugos dan Pusat Kesihatan Telisai.
Objektif Program Pengawalan Diabetis adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran para peserta mengenai penyakit kencing manis serta komplikasi dan cara pengawalan yang lebih berkesan.
Aktiviti-aktiviti yang terkandung di dalam Program Pengawalan Diabetis adalah menganjurkan pelbagai ceramah kesihatan yang berhubungkait dengan penyakit diabetis, sesi perbincangan serta kegiatan fizikal. Ceramah-ceramah kesihatan tersebut telahpun disampaikan oleh pegawai perubatan, pegawai penjaga zat makanan, pegawai psikologis klinikal, pegawai fisioterapi, jururawat pendidik diabetes, ahli kimia ubat dan podiatri.
Diantara kandungan Program Pengawalan Diabetis ini ialah peserta dikehendaki untuk mencatit diari permakanan masing masing setiap hari untuk disemak oleh pegawai penjaga zat makanan di samping mengadakan senamrobik dan senaman tai chi.
Penilaian terperinci keatas pengawalan kencing manis peserta dilakukan secara berkala sepanjang program ini diadakan. Penilaian dilakukan melalui ujian darah serta pemeriksaan berat badan dan tekanan darah.
Majlis penutupan Program Pengawalan Diabetes pada hari ini juga diselajurkan dengan upacara penyampaian sijil oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat majlis kepada para peserta yang telah berjaya mengawal penyakit diabetes mereka. Sesi perkongsian pengalaman dan pengambilan gambar beramai-ramai juga diadakan sebelum selasainya Majlis pada pagi ini.
-TAMAT-
Tarikh : 23 Zulhijjah 1432H / 19 November 2011