

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Yusof, Menteri Kesihatan membuat lawatan ke Pusat Kesihatan Pengkalan Batu yang telah di bina pada penghujung tahun 2009 pada hari ini, Rabu, 28 Disember 2011.
Di antara objektif lawatan Yang Berhormat Menteri Kesihatan ke Pusat Kesihatan berkenaan adalah untuk meninjau dengan lebih dekat lagi perkembangan pembinaanya.
Perkhidmatan-perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan yang akan disediakan di Pusat Kesihatan ini nanti adalah seperti kemudahan pesakit luar, Bahagian Kemalangan dan Kecemasan, Bahagian Wanita dan Kanak-Kanak, Klinik Flu, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Pergigian, Program Klinik Kesihatan (Wellness Program Clinic) dan menyediakan ruang menunggu serta tempat letak kereta. Pusat Kesihatan ini akan menampung penduduk bagi kawasan Mukim Pengakalan Batu.
Turut serta dalam rombongan Menteri Kesihatan ialah Yang Mulia Hajah Siti Mariam binti Hj Md Jaafar, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
-TAMAT-
Tarikh : 3 Safar 1433 / 28 Disember 2011 |