Search this site
 

PENARIKAN BALIK KE ATAS PRODUK KESIHATAN ‘CURVY - PEARL BEAUTY SLIMMING ORANGE JUICE’ YANG DICEMARI BAHAN TERKAWAL

 



 

Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa produk kesihatan ‘Curvy - Pearl Beauty Slimming Orange Juice’ telah didapati mengandungi ‘sibutramine’ yang boleh membahayakan kesihatan.

‘Sibutramine’ adalah bahan untuk menguruskan badan dan penggunaan secara berpanjangan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, degupan jantung yang kuat dan masalah gangguan tidur. Penggunaan ‘Sibutramine’ dalam makanan adalah tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kesihatan Awam (Makanan), (P1 Penggal 182).

Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan di pasar-pasar raya dan mendapati produk tersebut dijual tanpa kebenaran pihak Kementerian ini. Ujian makmal yang dilakukan ke atas produk berkenaan telah mengesahkan bahawa produk terbabit mengandungi ‘sibutramine’. Pihak Kementerian Kesihatan juga telah menerima beberapa aduan kesan sampingan dari orang ramai yang meminum produk tersebut. Kementerian Kesihatan seterusnya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membeli atau menggunakan produk terbabit. Para pengguna yang memiliki produk tersebut hendaklah mengembalikannya kepada Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemeriksaan ke pasar-pasar raya, kedai-kedai runcit dan kedai-kedai rawatan badan bagi mempastikan produk tersebut tidak ada di pasaran.

Kementerian Kesihatan juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa semua produk makanan proses yang diimport perlu dihadapkan ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan sebelum ianya diimport dan dipasarkan di negara ini.

Kementerian ini juga ingin memperingatkan, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta Kesihatan Awam (Makanan) (Penggal 182), sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dipenjara selama 5 tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

 

Bagi sebarang keterangan lanjut, sila hubungi:

Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan
Pusat Pemeriksaan Kesihatan
Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar
Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan
Jalan Delima Dua, Berakas BB2313

No. telefon: 233 1100 - 6 / 08 / 09 / 10
No. faks: 233 1107


-TAMAT-

Tarikh : 3 Safar 1433 / 28 Disember 2011

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.