Sign In

YB Minister of Health, Brunei Darussalam on work visit to Singapore

LAWATAN YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE SINGAPURA

DI BAWAH PROGRAM S R NATHAN FELLOWSHIP

8 – 11 FEBRUARI 2023

 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan Negara Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan kerja ke Republik Singapura di bawah Program S R Nathan Fellowship pada 8 hingga 11 Februari 2023.

 

Semasa lawatan tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah mengadakan kunjungan hormat kepada beberapa pemimpin Republik Singapura termasuk  Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan; Tuan Yang Terutama Dr. Vivian Balakrishnan, Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, dan Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan. Semasa kunjungan-kunjungan hormat tersebut, para pemimpin telah bertukar-tukar idea, pandangan dan pengalaman berkaitan isu-isu semasa serta membincangkan perkembangan-perkembangan serantau dan antarabangsa, di samping mengalu-alukan kerjasama dua hala dalam bidang kepentingan bersama, terutamanya bidang kesihatan, di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.  Turut hadir dalam kunjungan-kunjungan hormat berkenaan adalah Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Sidek bin Ali, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura.

 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga telah berkesempatan mengadakan lawatan ke Saw Swee Hock School of Public Health (SSHSPH), Health Promotion Board (HPB), Kallang Polyclinic, Singapore Food Agency (SFA) dan Kementerian Kesihatan Singapura. Di sepanjang lawatan kerja tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah diberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan institusi-intitusi berkenaan dalam usaha mempromosikan kesihatan, program-program pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit, program saringan kebangsaan, penggunaan teknologi kesihatan digital, pembiayaan penjagaan kesihatan dan keselamatan makanan, di samping mengadakan perbincangan-perbincangan berhubung dengan isu-isu berkaitan. 

 

S R Nathan Fellowship yang dianugerahkan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan oleh Kerajaan Singapura adalah merupakan program peringkat tinggi yang membolehkan pemimpin-pemimpin untuk mengadakan dialog dan bertukar idea, pengalaman dan perspektif bersama pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Singapura, sekaligus menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara Singapura dan negara-negara yang dijemput.

 

Sementara berada di Singapura, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga berkesempatan untuk membuat perjumpaan dengan beberapa orang warganegara Brunei Darussalam yang dihantar oleh pihak Kerajaan untuk menerima rawatan dari pakar-pakar di Singapura.

 

-TAMAT-

 

Tarikh      : 20 Rejab 1444H / 11 Februari 2023

Rujukan   : KK/PR/1​

Attachments