Sign In

MOH held Muzakarah session with YB Members of Legislative Council

​SESI MUZAKARAH KEMENTERIAN KESIHATAN BERSAMA

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA

 

25 Rejab 1444H bersamaan 16 Februari 2023M – Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diadakan pada hari ini, Khamis, 25 Rejab 1444H bersamaan 16 Februari 2023M bertempat di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC).

 

Seramai 15 orang Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara menghadiri Sesi Muzakarah tersebut yang diketuai oleh Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.

 

Sebelum sesi Muzakarah dimulakan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dibawa melawat ke Perkhidmatan–Perkhidmatan berikut:

  • Radiotheraphy
  • Early Detection and Cancer Prevention Services (EDCPs)
  • Day Care Unit (DCU)
  • Rehab Department

 

Sesi Muzakarah ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-fatihah & doa selamat oleh Yang Mulia Ustaz Haji Ishkandar bin Haji Buntar dan seterusnya ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, selaku Pengerusi Majlis Muzakarah ini.

 

Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyentuh mengenai peranan Kementerian Kesihatan sebagai salah satu jentera penggerak Kerajaan yang akan terus berusaha gigih sebagai satu pasukan yang mantap dalam melaksanakan strategi-strategi kesihatan yang dirancangkan. Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan beberapa inisiatif yang sedang dan akan diusahakan dalam mendokong pembangunan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih cekap, efisien dan berkualiti serta berteraskan people centred care dengan tenaga kerja kesihatan yang profesional, dinamik, progresif dan penuh pemedulian. Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menekankan bahawa kerjasama padu dari semua pihak termasuk agensi-agensi Kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan Kerajaan (NGO), Ketua-ketua akar umbi; dan semua lapisan masyarakat adalah penting dalam sama-sama berganding bahu menjalankan tanggungjawab menjaga kesihatan dan keselamatan awam bagi kesejahteraan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

 

Sejurus itu, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir selaku Ketua Rombongan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga menyampaikan ucapan balas di Majlis tersebut.

 

Majlis Muzakarah kemudiannya diikuti dengan sesi taklimat mengenai Gambaran Keseluruhan Kementerian Kesihatan yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Doktor Ang Swee Hui, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan.

 

Permuzakarahan seterusnya diikuti dengan sesi dialog di antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pihak Kementerian Kesihatan. Dialog yang diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan secara terbuka itu adalah bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

 

Turut hadir di Sesi Muzakarah ini ialah Yang Mulia Dr Hjh Anie Haryani Binti Hj Abd Rahman, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Pengiran Doktor Haji Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan.

 

-T A M A T-

 

 

Rujukan         : KK/PR/1

Tarikh             : 25 Rejab 1444 / 16 Februari 2023


Attachments