Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN 

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

BERSEMPENA SAMBUTAN HARI JANTUNG SEDUNIA 2018

 

TEMA: 'JANTUNG KU, JANTUNG MU'

29 September 2018


 1.    Penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan strok adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia. Di Negara Brunei Darussalam, penyakit kardiovaskular adalah penyebab kematian kedua tertinggi yang menyumbang kepada 29% punca kematian pada tahun 2017. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa penyakit jantung berlaku hanya pada usia tua, namun hakikatnya, jumlah dan kadar kematian penyakit ini dikalangan mereka yang berumur di bawah 75 tahun semakin meningkat. Tren ini amat membimbangkan kerana semakin ramai antara pesakit menghidap simptom atau gejala penyakit jantung pada usia yang lebih muda. Tambahan lagi, di kalangan semua kematian yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular pada tahun 2017, lebih 40% adalah kematian pramatang iaitu dikalangan mereka yang berumur 35 ke 64 tahun. 


2.    Penyakit kardiovaskular mempunyai beberapa faktor-faktor risiko yang kebanyakannya dapat dicegah atau dirawat dengan efektif jika ianya dikesan awal. Di Negara Brunei Darussalam, faktor-faktor risiko utama termasuklah obesiti, gaya hidup yang tidak aktif, merokok, pengambilan pemakanan yang tidak seimbang, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan diabetis atau kencing manis. Sehubungan dengan itu, Hari Jantung Sedunia, yang disambut pada 29 September setiap tahun adalah merupakan salah satu platform bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit jantung dan pada masa yang sama mengingatkan kita semua bahawa penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan mengambil langkah-langkah terhadap faktor-faktor risiko penyakit jantung.

 

3.    Tema Hari Jantung Sedunia pada tahun ini ialah 'Jantung Ku, Jantung Mu' yang mana memfokuskan kepada penjagaan kesihatan jantung kita sendiri dan kesihatan jantung orang-orang yang kita sayangi. Kempen kali ini menyeru orang ramai untuk berjanji;  Berjanji untuk diri kita - secara individu untuk menjadi lebih aktif, tidak merokok serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang; sebagai profesional penjagaan kesihatan – untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa; atau sebagai penggubal dasar-dasar – untuk melaksanakan pelan tindakan penyakit-penyakit tidak berjangkit atau strategi-strategi yang boleh memberikan impak kesihatan pada diri kita dan orang-orang yang kita sayangi. Janji yang mudah…demi KESIHATAN JANTUNG SENDIRI, KESIHATAN JANTUNG AWDA, dan KESIHATAN JANTUNG KITA SEMUA.

 

4.    Penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan hanya melakukan beberapa perubahan dalam kehidupan harian kita yang bukan saja akan memberikan manfaat kepada kesihatan jantung kita sekarang, malah juga di masa akan datang. Untuk memperingati Hari Jantung Sedunia pada tahun ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjaga kesihatan jantung kita. Tiga langkah mudah yang boleh mencegah penyakit jantung adalah:

 

  • Berjanji untuk mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang – Minum lebih banyak air dan mengurangkan pengambilan minuman bergula, mengambil buah-buahan segar sebagai pilihan alternatif lebih sihat dan memakan 5 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari, serta menghadkan pengambilan makanan yang diproses yang selalunya mengandungi garam, gula dan lemak yang tinggi.

 

  • Berjanji untuk lebih aktif – Melakukan aktiviti fizikal yang berintensiti sederhana (seperti berjalan pantas) sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau 30 minit 5 kali seminggu.

 

  • Berjanji untuk tidak merokok – Berhenti atau mengelakkan daripada merokok adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesihatan jantung. Kunjungilah Klinik Berhenti Merokok di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat serta bantuan berhenti merokok.

 

5.    Pada hari ini, sempena Hari Jantung Sedunia, saya menggesa orang ramai dan setiap individu agar berjanji untuk membuat pilihan yang sihat, di mana jua awda berada. Manakala, kepada semua profesional penjagaan kesihatan, sama ada di sektor kerajaan atau swasta, untuk memberikan rawatan penyakit kardiovaskular dengan lebih efektif dan holistik. Dan seterusnya kepada pihak yang berkepentingan, agar kita sama-sama meningkatkan lagi usaha-usaha pencegahan dengan berkesan dan konsisten. Beban penyakit kardiovaskular yang kita hadapi boleh dikurangkan dan adalah amat penting untuk kita bertindak sekarang. Melalui langkah-langkah pencegahan itu nanti, kita bukan saja dapat meningkatkan kesihatan jantung kita, malah juga boleh mencegah penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain demi meningkatkan kualiti kehidupan kita semua.

 

6.    Akhirnya, seperti yang kita maklumi juga, lazimnya setiap penyakit bukan berasingan tetapi adalah saling berkaitan dengan penyakit yang lain. Dengan menangani sesuatu penyakit, kita seterusnya akan dapat menangani penyakit yang lain. Tambahan pula, dengan liputan kesihatan sejagat (Universal Health Coverage) yang terdapat di Negara kita, kita sememangnya mampu dan dapat melawan penyakit NCD bersama-sama sebagai satu negara yang bersatu-Brunei Darussalam.

 

 

- TAMAT -


Attachments