Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

‚Äč

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM  BIN HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2018

10 OKTOBER 2018

 

TEMA:

"Belia Muda dan Kesihatan Mental dalam Perubahan Dunia'"

(Young People and Mental Health in the Changing World)

 

1.     Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober, setiap tahun di seluruh dunia untuk mengutarakan dan meningkatkan kesedaran akan kepentingan kesihatan mental. Bagi Negara Brunei Darussalam, ianya adalah suatu peluang untuk meneliti semula langkah-langkah yang telah kita laksanakan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan mental, menggerakkan sumber dan memberi sokongan untuk inisiatif-inisiatif kesihatan mental, serta menggalakkan penduduk di Negara ini untuk menjaga kesihatan mental dengan lebih baik. Ini adalah sangat penting ke arah menjamin kesihatan mental dan fizikal yang sihat dapat diperolehi, serta memastikan setiap individu dapat memenuhi potensi hidup bagi menikmati kehidupan sepenuhnya. Namun demikian, sering kali terdapat segelinitr individu yang tidak memberikan keutamaan terhadap penjagaan kesihatan mental mereka dan ini sememangnya boleh membawa kesan yang negatif kepada individu tersebut.   

 

2.     Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini, Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental (World Federation for Mental Health) memberi tumpuan kepada mempromosikan isu-isu kesihatan mental di kalangan belia muda dengan tema "Belia Muda dan Kesihatan Mental Dalam Perubahan Dunia". Seperti yang kita ketahui, golongan remaja (adolescence) dan awal dewasa (early years of adulthood) adalah peringkat umur yang melalui banyak perubahan di dalam kehidupan, seperti pertukaran sekolah, meninggalkan rumah, memulakan pengajian tinggi dan memulakan kerjaya. Bagi kebanyakkan orang, ini adalah peringkat kehidupan yang sangat menarik yang mana mereka akan mula belajar mengenal erti kehidupan. Walau bagaimanapun, perjalanan kehidupan pada peringkat umur ini  boleh membawa  kepada merasa tertekan serta ketakutan ataupun kebimbangan yang berlebihan, dan jika perkara ini tidak dikenalpasti dan dikawal awal, perasaan ini boleh membawa kepada masalah kesihatan mental.

 

3.     Tidak dinafikan lagi, belia muda kita hari ini banyak menghadapi pelbagai tekanan dan terdedah pada cabaran dalam kehidupan mereka seharian., tambahan lagi di era yang serba moden dengan perubahan dunia yang pesat lagi berterusan dari hari ke hari. Tekanan dan cabaran ini boleh muncul sama ada dari aspek dunia fizikal ataupun dunia virtual (online) yang boleh memberi banyak kesan-kesan negatif kepada para belia muda, misalnya isu cyber bullying atau buli siber yang semakin berleluasa. Jika ditinjau, perkara ini memang sukar untuk ditangani kerana pada masa yang sama, penggunaan teknologi online juga memberikan banyak manfaat dan kesan positif lain. Justeru itu, mengenalpasti akan isu-isu yang boleh dihadapi oleh belia muda kita hari ini dan seterusnya memberikan perhatian, kesedaran dan sokongan mengenainya adalah sangat penting.

 4.     Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa  separuh dari semua jenis penyakit mental bermula pada usia 14 tahun yang mana kebanyakkan daripadanya tidak dikesan dan tidak mendapat rawatan. Dari segi beban penyakit di kalangan remaja, kemurungan dilaporkan sebagai penyebab ketiga tertinggi. Manakala, bunuh diri adalah penyebab kematian yang kedua tertinggi di antara mereka yang berusia di antara 15 hingga 29 tahun. Masalah penggunaan alkohol dan penyalahgunaan dadah di kalangan remaja pula dilaporkan menjadi isu utama di kebanyakkan negara.


 5.     Kementerian Kesihatan melalui Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha telah mencatatkan hampir 600 konsultasi dijalankan pada tahun 2016. Ini menunjukkan bahawa masalah-masalah kesihatan mental menjejaskan golongan belia dari usia yang muda. Isu-isu buli dan bunuh diri di Negara kita kini   semakin membimbangkan dan kita perlulah sentiasa bersedia untuk menangani isu-isu ini dengan mengambil beberapa langkah penyediaan dan pengawalan seperti membuat inisiatif-inisiatif dan garispanduan yang bersesuaian serta pragmatik bagi menangani isu-isu tersebut. Alhamdulillah, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan ada menyediakan program-program kesihatan mental untuk golongan belia muda, ini termasuklah Kempen Brunei Bebas Buli (dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah), Program Jaga Minda Kita, dan sebagainya. Disamping itu, InshaaAllah satu talian bantuan kesihatan mental bagi Negara Brunei Darussalam juga akan ditubuhkan di masa yang terdekat ini. Kementerian Kesihatan percaya bahawa tindakan pencegahan, pendekatan awal, memupuk daya tahan, serta memastikan maklumat dan perkhidmatan yang mudah diperolehi kepada penduduk adalah faktor-faktor utama dalam mewujudkan masa depan yang sihat untuk golongan belia muda kita.

6.     Alhamdulilah, apa yang kita dapat lihat kesedaran orang ramai semakin meningkat dalam sama-sama membantu belia muda untuk mempersiapsiagakan kedayatahanan mental mereka bagi menghadapi cabaran-cabaran hidup di dunia yang berubah-ubah. Semakin banyak bukti yang menunjukkan bahawa melindungi kesihatan mental belia muda dapat mendatangkan faedah bukan sahaja kepada kesihatan umum mereka - baik dalam jangka pendek dan jangka panjang - tetapi juga kepada kemajuan ekonomi dan masyarakat mereka. Dengan adanya daya tahan mental yang kuat, sihat dan baik ini nanti, golongan belia muda setentunya akan dapat menikmati dan memenuhi potensi mereka dengan lebih menyerlah dan seterusnya dapat memberi sumbangan yang lebih baik kepada tenaga kerja, keluarga dan masyarakat mereka, dan masyarakat secara keseluruhan.
 

7.     Akhirnya, saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan menggesa dan menggalakkan para belia Brunei serta pihak-pihak berkepetingan lain untuk menyertai kami untuk mewujudkan landasan-landasan yang mana perbincangan terbuka dan tidak menilai (non-judging) boleh dibuat demi membantu belia muda menjadi dan memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menghentikan stigma; menyokong penerimaan dan belas kasihan terhadap mereka yang mengalami penyakit mental; dan juga dalam mempromosikan kepentingan kesihatan mental yang baik. #berantikanstigma

 

 

---TAMAT---

 


Attachments