Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN

HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA 2019

 

14 MAC 2019

 

TEMA: 

Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua Orang Di Mana Sahaja

(Kidney Health for Everyone Everywhere)

 

 

  1. Penyakit buah pinggang kronik (Chronic Kidney Disease - CKD) adalah penyakit tidak berjangkit yang menjejaskan 1 dari 10 orang di seluruh dunia. Penyakit ini menyebabkan sekurang-kurangnya 2.4 juta kematian setiap tahun dan kini adalah punca kematian yang ke 6 paling terpantas meningkat dari tahun ke tahun. Menurut Persatuan Antarabangsa Nefrologi (International Society of Nephrology - ISN) dan Persekutuan Antarabangsa Yayasan Buah Pinggang (The International Federation of Kidney Foundations – IFKF), dianggarkan seramai 850 juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit buah pinggang dari pelbagai sebab. Manakala, kecederaan buah pinggang akut atau Acute Kidney Injury (AKI) iaitu penyebab utama Penyakit Buah Pinggang Kronik pula telah menjejaskan lebih 13 juta orang di seluruh dunia yang mana 85% daripada kes ini didapati di Negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.
  2. Penyakit buah pinggang kronik biasanya terjadi secara senyap tanpa kita ketahui. Ianya seringkali memusnahkan kebanyakan fungsi buah pinggang terlebih dahulu sebelum menunjukkan sebarang simptom. Diantara simptom-simptom penyakit buah pinggang kronik adalah seperti bengkak dipergelangan kaki, keletihan yang tidak ada sebab, sukar menumpukan perhatian, selera makan berkurangan dan air kencing yang berbuih. Walaubagaimanapun, jika penyakit buah pinggang kronik dapat dikesan dengan lebih awal, pemberian rawatan yang sewajarnya bukan sahaja boleh memperlambatkan penyusutan fungsi buah pinggang malahan dapat memberhentikanya dari berkembang. Manakala, penyakit buah pinggang kronik yang tidak diberikan rawatan boleh berlanjutan sehingga menjadi kegagalan buah pinggang yang dapat mengancam nyawa.

     
  3. Di Negara Brunei Darussalam, sejumlah 4,958 pesakit dicatatkan menghidap Penyakit Buah Pinggang Kronik di penghujung tahun 2018. Antara penyebab-penyebab utama Penyakit Buah Pinggang Kronik adalah penyakit diabetis, penyakit darah tinggi dan glomerulonephritis iaitu radang buah pinggang. Pada tahun yang sama dicatatkan terdapat seramai 783 pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir (End Stage Renal Failure) yang mana seramai 655 pesakit menjalani rawatan haemodialysis dan 82 pesakit menjalani rawatan peritoneal dialysis. Manakala, sejumlah 46 pesakit yang telah menjalani pemindahan buah pinggang menerima rawatan susulan untuk pemantauan Doktor. Dari segi perbelanjaan pula, kos rawatan berkaitan dengan Penyakit Buah Pinggang adalah sangat signifikan yang mana jumlah kos rawatan haemodialysis termasuk kos ubat-ubatan renal pada tahun kewangan 2018/2019 sahaja adalah sebanyak BND13.7 Juta dan ianya telah meningkat dari tahun ke tahun.

     
  4. Sehubungan dengan peningkatan masalah penyakit buah pinggang ini, setiap tahun pada hari Khamis minggu kedua di bulan Mac, seluruh dunia akan menyambut Hari Buah Pinggang Sedunia dan pada tahun ini, ianya disambut pada 14 Mac 2019. Ini adalah satu inisiatif bersama Persatuan Antarabangsa Nefrologi (International Society of Nephrology -ISN) dan Persekutuan Antarabangsa Yayasan Buah Pinggang (The International Federation of Kidney Foundations – IFKF) yang mana pada tahun-tahun yang lalu, lebih dari 90 buah negara telah bersama-sama meraikan hari tersebut dalam memperingati Hari Buah Pinggang Sedunia. Dengan temaKidney Health for Everyone Everywhere: Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua Orang D Mana Sahaja, sambutan hari buah pinggang sedunia ini diharapkan akan menjadi satu tradisi kempen kesedaran global yang memainkan peranan penting dalam mendidik orang ramai tentang kepentingan kesihatan buah pinggang, menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal penyakit buah pinggang serta memastikan liputan kesihatan sejagat dalam pemberian rawatan dan penjagaan kesihatan buah pinggang.

  5. Diantara rawatan bagi penghidap penyakit buah pinggang adalah rawatan pemindahan buah pinggang. Kaedah rawatan ini dianggap sebagai rawatan Penyakit Buah Pinggang Kronik yang paling kos efektif dalam jangka masa yang panjang walaupun mempunyai kos tinggi dan memerlukan pasukan kepakaran yang sangat khusus. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam sangat beruntung dengan berkat keprihatian dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dapat menerima liputan kesihatan sejagpat. Pada tahun 2013, pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah mula menyediakan perkhidmatan pemindahan buah pinggang di Negara Brunei Darussalam. Setakat ini, sebanyak 7 rawatan pemindahan buah pinggang telah berjaya dilakukan dalam tempoh 6 tahun kebelakangan. Penerimaan pemindahan buah pinggang adalah sangat menggalakkan dikalangan rakyat dan penduduk negara Brunei Darussalam. Tambahan lagi, apa yang lebih membanggakan, pendermaan buah pinggang dikalangan keluarga pesakit semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

     
  6. Pada kesimpulannya, matlamat utama Hari Buah Pinggang Sedunia ini adalah untuk menggalakkan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan meningkatkan ekuiti kesihatan diseluruh lapisan sosioekonomi dengan memastikan akses penjagaan kesihatan yang sejagat, mampan dan saksama. Dalam hal ini, setiap individu juga harus mengambil bahagian dalam mengamalkan gaya hidup sihat seperti kekal aktif, tidak merokok dan mengamalkan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang. Kementerian Kesihatan pula akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

     

    - TAMAT -


Attachments