Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

 

SEMPENA HARI KESIHATAN SEDUNIA 2019

7 APRIL 2019

TEMA:

'Liputan Kesihatan Sejagat'

('Universal Health Coverage')

 

1.   Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April di seluruh dunia sempena memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, World Health Organization (WHO) pada tahun 1948. Setiap tahun, sambutan Hari Kesihatan Sedunia akan diraikan dengan tema yang berbeza dan ianya dijadikan sebagai satu platform utama untuk menarik perhatian orang ramai mengenai isu-isu global kesihatan semasa. Pada tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia sekali lagi memilih tema 'Liputan Kesihatan Sejagat' ('Universal Health Coverage') yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai konsep Liputan Kesihatan Sejagat dan seterusnya menggalakkan dan mempromosi tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh kesemua pihak diseluruh dunia bagi menyumbang ke arah merealisasikan konsep Liputan Kesihatan Sejagat secara global.

 

2.   Liputan Kesihatan Sejagat atau Universal Health Coverage bermaksud semua lapisan masyarakat yang memerlukan mempunyai akses yang sama untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa dibebani dengan isu kewangan. Ini adalah kerana kesihatan adalah hak asasi setiap individu dan setiap individu berhak untuk menerima maklumat dan perkhidmatan yang mereka perlukan bagi memastikan kesihatan diri dan ahli keluarga mereka sentiasa terjaga. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya separuh dari penduduk dunia tidak menerima perkhidmatan kesihatan yang mereka perlukan dan kira-kira 100 juta penduduk dunia menjalani kehidupan dalam kemiskinan setiap tahun kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi kesihatan mereka.

 

3.   Sehubungan dengan itu, sambutan hari kesihatan sedunia pada tahun ini memberi fokus kepada aspek-aspek berkaitan dengan ekuiti dan perpaduan, dan dalam menangani halangan kepada akses kepada penjagaan dan perkhidmatan kesihatan. Ringkasnya, dalam mencapai liputan kesihatan sejagat, sebahagian besar penjagaan kesihatan samaada dari segi promosi kesihatan, pencegahan penyakit, perawatan atau  pemulihan seboleh-bolehnya diberikan berdekatan dengan tempat tinggal setiap individu. Dalam pada itu, penjagaan kesihatan asasi berfungsi sebagai titik pertama dalam hubungan individu, keluarga dan masyarakat dengan sistem kesihatan di dalam sesebuah negara.

 

4.   Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, kita sangat beruntung kerana semua rakyat dan penduduk di Negara ini menerima liputan kesihatan sejagat daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan dengan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses dan diperolehi di ke-empat daerah yang termasuk penyediaan 14 buah pusat kesihatan yang komprehensif, 4 buah klinik kesihatan, 2 perkhidmatan perubatan udara dan 3 klinik bergerak. Pusat-pusat kesihatan yang disediakan diperingkat masyrakat adalah komprehensif dan selaras dengan konsep One-Stop Health Centre yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asasi yang bertumpu di bawah satu bumbung, dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti serta efisiensi dengan menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif berdekatan dengan masyarakat.

 

5.   Pada dasarnya, Penjagaaan Kesihatan Asasi mempunyai peranan yang sangat penting dalam liputan kesihatan sejagat dan juga dalam penjagaan kesihatan secara menyeluruh atau holistic kerana Penjagaan Kesihatan Asasi merangkumi keperluan kesihatan seseorang individu bagi sepanjang hayat iaitu dari sebelum kelahiran lagi, semasa kecil, sesudah dewasa dan sehinggalah ke hujung hayat. Dalam pada itu, komitmen Kerajaan Negara Brunei Darussalam  ke arah Penjagaan Kesihatan Asasi di Negara ini dan Liputan Kesihatan Sejagat dapat dilihat melalui pencapaian negara dalam Matlamat Pembangunan Milenium 2015 (Millineum Development Goals 2015). Negara kita juga sudah berjaya memenuhi beberapa sasaran Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals 2030) seperti berikut:

 

  1. Nisbah Kematian Ibu (Maternal Mortality Ratio) di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan penurunan yang ketara sejak tahun 1960-an sehingga sekarang.
  2. Kadar Kematian Di Bawah 5 Tahun (Under-5 Mortality Rate), Negara Brunei Darussalam telah dapat mengurangkan kadar ini ke dalam sasaran SDG.
  3. Mencapai liputan imunisasi yang melebihi sasaran SDG, iaitu lebih daripada 95 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah diimunisasi setiap tahun.
  4. Negara Brunei Darussalam  telah diisytiharkan bebas-malaria oleh WHO pada tahun 1987, bebas-Polio pada tahun 2000, Bebas-Measles pada 2015 dan bebas Rubella pada bulan November 2018.

 

6.   Penjagaan Kesihatan Asasi yang mantap dan teratur juga telah terbukti kos efektif dan saksama dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti, dan telah membantu banyak negara dalam mencapai kemajuan ke arah Liputan Kesihatan Sejagat di negara masing-masing. Oleh yang demikian, kefahaman yang mendalam mengenai Liputan Kesihatan Sejagat juga adalah sangat penting dalam membuat perangkaan dasar-dasar negara bagi memastikan Negara Brunei Darussalam akan dapat terus maju ke arah memastikan dan mengekalkan Liputan Kesihatan Sejagat.

 

7.   Dalam mencapai impian ke arah kesihatan untuk semua  atau Health For All, satu realiti, kerjasama dari semua pihak adalah sangat diperlukan. Kita memerlukan individu dan masyarakat yang mendapat akses kepada perkhidmatan untuk bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan mereka mahupun ahli keluarga mereka; ahli profesional dan pekerja kesihatan yang mempunyai kemahiran untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti bersandarkan pada keperluan khusus masyarakat masing-masing atau people-centred care; dan para perangka dasar untuk lebih bijak dan komited dalam melaburkan perbelanjaan dalam pemberian penjagaan kesihatan asasi.

 

8.   Saya berharap sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini akan dapat dijadikan sebagai satu landasan kepada kita semua sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk lebih menghargai kesihatan diri sendiri dan tidak mensia-siakan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Para profesional dan pekerja-pekerja kesihatan juga memainkan peranan yang penting dalam sama-sama bersedia untuk mendidik para pesakit tentang cara-cara menjaga kesihatan, menyelaras penjagaan dan menyokong keperluan pesakit mereka. Hubungan profesional yang baik dapat dimanfaatkan melalui pemberian pendidikan pesakit secara berterusan dan konsisten dengan setiap pesakit.


9.    Akhirnya, dalam menyokong tema sambutan hari kesihatan sedunia pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam adalah komited dan akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi Penjagaan Kesihatan Asasi dalam merealisasikan liputan kesihatan sejagat agar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama secara mudah dan saksama sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan negara yang mana adalah selaras dengan Wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam iaitu "Pencapaian Kualiti Hidup Penduduk Yang Tinggi" dan juga Visi Kementerian Kesihatan "Bersama Ke Arah Warga Sihat".

 

 

 TAMAT 

 

 


Attachments