Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA

DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR,

MENTERI KESIHATAN

 

SEMPENA HARI MINGGU IMMUNISASI KESIHATAN SEDUNIA 2019

24 - 30  APRIL 2019

TEMA:

'Perlindungan Bersama, #VaksinBerkesan'

('Protected Together, #VaccinesWork)

 

 

1.   Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam sekali lagi tidak ketinggalan menyertai negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang lain dalam menyambut Minggu Imunisasi Sedunia pada 24 hingga 30 April 2019. Minggu Imunisasi Sedunia ini disambut setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan individu, keluarga dan masyarakat untuk mengambil perhatian dan memainkan peranan aktif dalam membantu mengurangkan beban global terhadap penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin.

 

2.   Tema sambutan Minggu Immunisasi Sedunia yang berlainan setiap tahun akan dijadikan sebagai satu landasan utama untuk menarik perhatian orang ramai mengenai isu-isu yang berkaitan dengan immunisasi. Tema pada tahun ini "Perlindungan Bersama, #VaksinBerkesan" atau "Protected Together, #VaccinesWork" telah dipilih bagi menarik perhatian orang ramai mengenai betapa pentingnya tindakan secara bersepadu dari pelbagai pihak dalam memastikan setiap orang dapat dilindungi dari penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin, dan seterusnya untuk menambahbaik kadar liputan imunisasi negara demi mendapatkan manfaat perlindungan vaksin yang berkesan. Tema ini juga menekankan peranan dan tanggungjawab semua lapisan masyarakat, termasuk penggubal dasar, pekerja-pekerja kesihatan, ibu bapa, penjaga dan individu dalam bersama-sama untuk berusaha dalam meningkatkan kadar liputan imunisasi demi melindungi kanak-kanak khususnya dan komuniti secara amnya dengan lebih meluas dan efektif.

 

3.   Pemberian vaksin adalah merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang sangat penting lagi kos efektif dalam pencegahan penyakit-penyakit dan seterusnya bagi menangani isu-isu kesihatan global. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah melaporkan bahawa program imunisasi yang berkesan boleh mencegah antara 2 hingga 3 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia. Pada tahun 2017 sahaja, bilangan kanak-kanak yang mendapat imunisasi di seluruh dunia adalah seramai 116.2 juta yang mana bilangan ini adalah yang tertinggi pernah dilaporkan. Pencapaian ini adalah hasil daripada inisiatif-inisiatif yang berkesan yang telah diungkayahkan dalam semua program imunisasi di setiap negara yang memberikannya. Dalam masa yang sama, penglibatan pihak Kerajaan dengan rakan kongsi ('stakeholders') untuk memastikan bahawa akses kepada suntikan dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat juga telah memberikan impak yang positif.

 

4.   Program imunisasi yang bersistematik adalah antara komponen yang sangat penting dalam penjagaan kesihatan yang harus diberikan kepada setiap individu dari sejak permulaan usia mereka semasa anak damit sehingga dewasa. Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, kita sangat beruntung kerana semua rakyat dan penduduk di Negara ini dapat menerima perkhidmatan vaksin daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan. Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan (kanak-kanak yang berumur 0-5 tahun) adalah salah satu program yang disediakan di setiap klinik dan pusat kesihatan di Negara ini. Semua ini adalah salah satu langkah kehadapan dalam memperluaskan akses kepada imunisasi terutamanya dikalangan anak-anak damit dan kanak-kanak di negara ini, disamping untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goal 2030) dan liputan kesihatan sejagat (Universal Health Coverage).

 

5.   Alhamdulillah, dengan adanya Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, negara brunei telah berjaya mencapai dan mengekalkan kadar liputan imunisasi kanak-kanak iaitu ditahap yang melebihi 95% liputan setiap tahun.  Statistik kadar liputan imunisasi di kalangan kanak-kanak ini telah mencapai Sasaran Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goal 2030). Walaubagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus berusaha untuk menambahbaik perkhidmatan yang sedia ada agar pencapaian ini dapat kekalkan dan juga tingkatkan. Diantara Impak kesihatan yang sangat ketara daripada pemberian vaksin bagi kanak-kanak damit ini adalah ianya boleh mencegah penyakit, kecacatan dan kematian seperti dari penyakit Hepatitis B, Campak (Measles), Beguk (Mumps), Polio dan Tetanus. Sementara itu, pemberian vaksin bagi mereka yang berisiko tinggi seperti penghidap penyakit-penyakit kronik, pengendali makanan dan pekerja-pekerja kesihatan ("front liners") dapat memberikan perlindungan daripada penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa seperti influenza dan meningitis yang lazimnya dihidapi semasa umur dewasa.

 

6.   Menurut kajian yang telah dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia,  pemberian Vaksin Human Papilloma Virus yang dikhususkan untuk kanak-kanak perempuan di Tahun 7 persekolahan telah terbukti dapat mencegah atau mampu mengurangkan risiko kanser servik apabila mereka meningkat dewasa nanti. Secara ringkasnya, program imunisasi yang bersesuaian telah terbukti boleh menyelamatkan nyawa dan mampu memberikan kualiti kehidupan yang lebih tinggi, serta menjamin kesihatan masa depan yang lebih cerah kepada setiap individu.

 

7.   Berdasarkan peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit 2003 Seksyen 47 Bab 1 antara lain menyatakan bahawa para ibubapa atau penjaga hendaklah memastikan anak-anak mereka diberikan vaksinasi lengkap bagi melindungi dari penyakit-penyakit berjangkit mengikut Jadual 4 dari akta tersebut yang meliputi 10 jenis penyakit iaitu Diphtheria, Haemophilus Influenza B, Hepatitis B, Measles, Mumps, Pertussis, Polio, Rubella, Tetanus dan Tuberculosis. Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua ibubapa mengambil serius akan perkara ini dan bertekad untuk lebih komited dalam memastikan anak-anak mereka  telah menerima vaksinasi yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Pusat-Pusat Kesihatan dan Klinik-Klinik Kesihatan di seluruh negara.

 

8.   Di atas komitmen yang berterusan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pula, Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan – khususnya di bawah program imunisasi bagi yang berisiko tinggi dan penjagaan kesihatan awam telah berjaya menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu negara yang diisytiharkan bebas dari Malaria oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 1987; bebas dari Polio pada tahun 2000, Bebas dari Measles pada tahun 2015 dan bebas dari Rubella pada bulan November 2018.

 

9.   Di kesempatan ini, dalam menyokong tema Sambutan Minggu Immunisasi  Sedunia pada tahun ini, Kementerian Kesihatan adalah komited dan akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan immunisasi di Negara Brunei Darussalam bagi kanak-kanak dan berusaha untuk meningkatkan liputan immunisasi bagi mereka yang berisiko tinggi. Dalam masa yang sama, saya juga berharap Sambutan Minggu Immunisasi Sedunia pada tahun ini akan dapat dijadikan sebagai satu asas yang berkesan kepada kita semua sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk lebih menghargai kesihatan diri sendiri dan lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengambilan vaksin yang sepatutnya untuk mencapai "Perlindungan Bersama, #VaksinBerkesan" dan menrealisasikan Visi Kementerian Kesihatan"Bersama Ke Arah Warga Sihat" serta Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 iaitu "Pencapaian Kualiti Hidup Penduduk Yang Tinggi.

 

 


Attachments