Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

‚Äč

PERUTUSAN YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2019

 

31 MEI 2019

 

TEMA: "TEMBAKAU DAN KESIHATAN PARU-PARU"

 

  1. Tembakau membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa bukan sahaja di kalangan pengguna malahan di kalangan mereka yang terdedah kepada asap rokok pasif (secondhand smoke). Bahan-bahan kimia merbahaya yang terkandung di dalam sepotong rokok boleh mengakibatkan beratus toksin masuk ke dalam paru-paru para perokok. Di seluruh dunia, kesan penggunaan tembakau menyebabkan lebih kurang 8 juta kematian setiap tahun iaitu 1 kematian terjadi pada setiap 4 saat. Dari jumlah perangkaan tersebut, lebih kurang 1 juta kematian adalah disebabkan oleh pendedahan kepada asap rokok pasif. 

 

  1. Ancaman kepada kesihatan terutamanya kesihatan paru-paru yang disebabkan oleh pengunaan tembakau semakin membimbangkan dari tahun ke setahun. Tambahan pula, penyakit paru-paru adalah di antara penyebab utama kematian yang mana penggunaan tembakau serta pendedahan kepada asap rokok pasif adalah faktor utama risiko penyakit tersebut. Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan rakan kongsi global yang lain menyambut Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada tahun ini dengan membawa tema 'Tembakau dan Kesihatan Paru-paru' (Tobacco and Lung Health). Tema ini memfokuskan kepada meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kesan negatif dalam penggunaan tembakau yang boleh menjejaskan kesihatan paru-paru seperti kanser paru-paru dan penyakit pernafasan kronik. Dalam masa yang sama sambutan ini juga diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai fungsi paru-paru yang memainkan peranan yang penting di dalam kesihatan dan kesejahteraan seseorang. 

 

  1. Menurut kajiselidik STEPS NCD 2016, sebanyak 20% atau seramai 50-60 ribu rakyat Brunei yang berumur di antara 18-69 tahun adalah perokok, yang mana 36.3% adalah di kalangan lelaki dan 3.7% adalah di kalangan wanita. Manakala, berdasarkan kajiselidik Global School Health Survey (GSHS) 2014, sebanyak 11% iaitu lebih kurang 3,800 orang remaja yang berumur 13-17 tahun adalah perokok, yang mana 17.8% adalah di kalangan remaja lelaki dan 5.5% adalah di kalangan remaja perempuan. Hasil dapatan yang diperolehi daripada kedua-dua kajiselidik tersebut menunjukkan bahawa kira-kira seramai 50-60 ribu penduduk di Negara Brunei Darussalam adalah perokok yang mana mereka ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapatkan penyakit paru-paru seperti kanser paru-paru, penyakit penafasan kronik, asma dan jangkitan Tuberculosis (TB). Bagi mereka yang merokok dari sejak zaman remaja pula, risiko untuk mendapatkan penyakit pernafasan kronik adalah lebih tinggi memandangkan perkembangan dan fungsi paru-paru mereka sudah terjejas dari sejak awal lagi.

 

  1. Apa yang lebih membimbangkan ialah kesan-kesan tabiat merokok juga boleh menjejaskan kesihatan orang di sekeliling perokok yang terdedah kepada asap rokok, iaitu perokok pasif (passive smokers). Menurut kajian GSHS 2014, kira-kira 40% remaja berumur 13-17 tahun terdedah kepada asap rokok pasif dan seramai 1 dalam setiap 3 orang remaja mempunyai ibubapa atau penjaga yang menggunakan produk tembakau. Pendedahan kepada asap rokok pasif ini meningkatkan risiko setiap individu untuk mendapatkan: 
  • Kanser paru-paru. Pada tahun 2017, kanser paru-paru adalah penyebab kematian kanser yang tertinggi di Negara Brunei Darussalam, iaitu hampir 16% daripada jumlah keseluruhan kematian yang disebabkan oleh penyakit kanser;
  • Jangkitan TB laten kepada jangkitan TB aktif. Pada tahun 2017 sahaja, sebanyak 240 kes TB yang baru telah dilaporkan;
  • Penyakit pernafasan kronik bagi orang dewasa yang pernah terdedah kepada asap rokok pasif sejak kanak-kanak lagi, dan kerap mendapat jangkitan paru-paru; dan masalah pernafasan yang serius seperti penyakit asma. Lebih kurang 8% daripada semua kematian yang berlaku pada tahun 2017 adalah disebabkan oleh penyakit penafasan kronik, termasuk bronkitis dan asma.
  1. Justeru itu, dalam usaha untuk mengurangkan dan mengawal pengunaan tembakau khususnya di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan bersama sektor Kerajaan yang lain di bawah Jawatankuasa Pelbagai Sektor bagi Kesihatan (Multisectoral Task Force on Health) telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah program mengurangkan pengunaan tembakau (reduce tobacco use). Ini termasuk aktiviti-aktiviti anti-tembakau seperti jerayawara, pameran dan ceramah kesihatan; memasukkan kurikulum anti-tembakau ke dalam kurikulum penuntut Tahun 6 dan 8; membuat video anti-tembakau di pawagam-pawagam; compliance to smoke-free law dan sebagainya. Kesemua inisiatif ini sentiasa dipantau bagi memastikan objektif-objektif yang ditetapkan dapat dicapai. 

 

  1. Bagi membantu perokok-perokok yang bersedia untuk berhenti merokok pula, Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di Pusat-Pusat Kesihatan di setiap daerah bagi memberikan perkhidmatan kaunseling serta bantuan farmakoterapi seperti alat gantian nikotin kepada yang memerlukannya. Apa yang dapat kita lihat, bagi setiap individu yang berjaya berhenti merokok, pembaikan kepada kesihatan mereka akan dapat dilihat dan dirasakan serta risiko mendapat penyakit kanser paru-paru juga akan menurun. Menurut kajian, selepas tempoh 3 bulan berhenti merokok, fungsi paru-paru akan beransur pulih dan bertambah baik. Setelah tempoh 9 bulan, batuk dan sesak nafas akan berkurangan. Selepas 10 tahun pula, kadar risiko kanser paru-paru akan menurun kepada separuh berbanding dengan para perokok, dan risiko kanser mulut, tekak, esofagus, pundi kencing, servik dan pankreas juga akan berkurangan.

 

  1. Kita di Negara Brunei Darussalam amatlah bersyukur kerana mempunyai kualiti udara yang pada lazimnya adalah bebas dari sebarang pencemaran dan toksin. Marilah kita bersama perjuangkan hak kita untuk menikmati udara yang bebas dari pencemaran asap rokok demi kesihatan dan kesejahteraan diri, anak-anak, kaum keluarga dan masyarakat am nya.

 

  1. Oleh yang demikian sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada tahun ini, saya menyeru agar semua perokok-perokok di Negara Brunei Darussalam untuk mengambil kesempatan baik pada bulan Ramadhan yang berkat dan mulia ini untuk berazam berhenti merokok dengan menjadikan bulan ini sebagai peluang dan iltizam untuk membuat perubahan bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri bahkan demi keluarga dan orang tersayang. Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam kita sihat dan bebas dari tembakau dan asap rokok.

 

 


Attachments