Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI JANTUNG SEDUNIA 2019

 

TEMA: "JANTUNG KU, JANTUNG MU"

(MY HEART, YOUR HEART)

 

29 SEPTEMBER 2019

 

1.    Penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan strok adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia, yang mana menyebabkan lebih kurang 17.9 juta kematian setiap tahun. Jika tidak dibendung, ianya dijangkakan akan terus meningkat kepada lebih kurang 23 juta kematian pada tahun 2030.

 

2.    Di Negara Brunei Darussalam, penyakit kardiovaskular adalah penyebab kematian kedua tertinggi selepas kanser, yang mana penyakit tersebut menyumbang kepada hampir 25 peratus punca kematian pada tahun 2018. Tambahan pula, jumlah pesakit yang menghidap penyakit jantung pada usia yang lebih muda juga semakin meningkat. Tren tersebut adalah amat membimbangkan yang mana pada tahun 2018, lebih kurang 26 peratus daripada kematian pra-matang (iaitu kematian sebelum umur 70 tahun) adalah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular. Kadar ini menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2013 yang mana kadar kematian pra-matang disebabkan penyakit kardiovaskular adalah 20 peratus. Disamping itu, jumlah prosedur-prosedur berkaitan dengan penyakit kardiovaskular juga telah meningkat yang mana jumlah prosedur yang dicatitkan di Pusat Jantung Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (GJPMC) seperti Angiogram pada tahun 2018 adalah 1,241 jika dibandingkan pada tahun 2013 hanya 965; prosedur Angioplasty sejumlah 725 pada tahun 2018 berbanding 550 pada tahun 2013; dan Pembedahan sejumlah 184 pada tahun 2018 berbanding 165 pada tahun 2013.

 

3.    Penyakit kardiovaskular mempunyai beberapa faktor-faktor risiko yang kebanyakannya dapat dicegah atau dirawat dengan efektif jika ianya dikesan awal. Faktor-faktor risiko tingkahlaku (behavioural risk factors) seperti penggunaan tembakau, makan pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak aktif boleh dicegah. Manakala faktor-faktor risiko yang berkaitan seperti obesiti, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi, diabetis atau kencing manis juga dapat dicegah atau dirawat, jika dikesan awal.

 

4.    Oleh yang demikian, Hari Jantung Sedunia yang disambut pada 29hb September setiap tahun adalah merupakan salah satu platform yang bersesuaian bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit jantung dan pada masa yang sama mengingatkan orang ramai bahawa penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan mengambil langkah-langkah terhadap faktor-faktor risiko penyakit jantung. Kesedaran dan komitmen setiap individu sendiri untuk mengubah cara pemikiran (mindset) dan sikap supaya sentiasa menjaga kesihatan jantung perlu dijadikan amalan dan budaya dalam kehidupan seharian.

 

5.    Tema Hari Jantung Sedunia pada tahun ini adalah 'My Heart, Your Heart' ('Jantung Ku, Jantung Mu'), yang mana memfokuskan pada penjagaan kesihatan jantung kita sendiri dan kesihatan jantung orang-orang yang kita sayangi. Sambutan Hari Jantung Sedunia pada tahun ini menyeru orang ramai untuk berjanji menjadi wira jantung ('Make A Promise, Be A Heart Hero') dengan berjanji:

  • Kepada keluarga – untuk memasak dan makan makanan yang lebih sihat dan seimbang;
  • Kepada anak-anak – untuk melakukan lebih aktiviti bersukan dan membantu mereka untuk menjadi lebih aktif, mengatakan tidak pada rokok serta membantu orang yang kita sayangi untuk berhenti merokok;
  • Sebagai pakar penjagaan kesihatan – untuk membantu pesakit untuk berhenti merokok atau mengurangkan tahap kolesterol;
  • Sebagai penggubal dasar – untuk melaksanakan pelan tindakan penyakit tidak berjangkit (NCD); dan
  • Sebagai pekerja – untuk mewujudkan tempat kerja yang sihat.

     

6.    Dalam kesempatan ini, saya ingin memberikan peringatan serta saranan kepada orang ramai untuk menggunakan dan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya kemudahan-kemudahan kesihatan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam termasuk Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan yang baru dilancarkan pada tahun ini. Antara jenis pemeriksaan yang terkandung dalam Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan ini ialah pemeriksaan faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular yang dijalankan di semua pusat kesihatan kerajaan di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam.

 

7.    Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan ini antaralain Insya Allah akan dapat membantu mengenalpasti faktor-faktor risiko bagi penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah yang tinggi, kolesterol yang tinggi, kadar gula yang lebih dari normal dan indeks jisim badan yang berlebihan. Pengesanan awal bermakna orang ramai boleh mendapatkan rawatan awal dan membolehkan pengawalan penyakit yang lebih baik.

 

8.    Seterusnya, saya juga ingin menekankan kepada pesakit-pesakit yang telah dikesan menghidap penyakit jantung untuk hendaklah sentiasa mematuhi nasihat dan arahan profesional kesihatan seperti memakan ubat secara teratur mengikut preskripsi yang diberikan oleh Doktor di samping mengamalkan cara hidup sihat secara berterusan.

 

9.    Sehubungan dengan ini, sebagai langkah-langkah dalam menangani dan mencegah faktor-faktor risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit kardiovaskular serta memperkukuhkan dan mempertingkatkan lagi langkah-langkah bagi mendorong dan mempromosi amalan cara hidup sihat, satu program kesihatan ditempat kerja telah dilancarkan baru-baru ini iaitu Program Workplace and Health (WAH).  Program WAH adalah satu usahasama Private Public Partnership (PPP) Kementerian Kesihatan dengan Gleneagles Jerudong Park Medical Centre yang telah diperkenalkan di beberapa Kementerian secara berperingkat yang mana adalah satu kaedah pendekatan persekitaran sihat ditempat kerja ataupun healthy settings at workplace. Dengan pelaksanakan program tersebut ianya adalah diharapkan agar orang ramai, khususnya warga perkhidmatan awam,  akan berupaya untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit ketika berada di tempat kerja.
 
 

10.Maka sempena Hari Jantung Sedunia pada tahun ini, marilah kita sama-sama berjanji untuk membuat sedikit perubahan dalam kehidupan kita ke arah pilihan yang lebih sihat, agar kita dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, serta meningkatkan kualiti hidup kita dan menunjukkan contoh yang baik untuk generasi akan datang. Kepada semua profesional penjagaan kesihatan, sama ada di sektor kerajaan atau swasta, untuk memberikan rawatan penyakit kardiovaskular dengan lebih efektif dan holistik. Kepada pihak yang berkepentingan, disarankan agar sama-sama meningkatkan lagi usaha-usaha pencegahan dengan berkesan dan konsisten. Dengan perubahan-perubahan dan usaha-usaha yang dijalankan di setiap peringkat itu nanti, beban penyakit kardiovaskular Insya Allah akan dapat dikurangkan, seterusnya mencegah penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain dan meningkatkan kualiti kehidupan kita semua di Negara Brunei Darussalam.

 

 

-TAMAT-



Attachments