Sign In
Manage PermissionsManage Permissions


PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI DIABETIS SEDUNIA

14 NOVEMBER 2021

TEMA:

"Akses ke Penjagaan Diabetis: Bila lagi jika tidak sekarang?"

(Access to Diabetes Care: If Not Now, When?)

 

1.     Diabetis adalah penyakit tidak berjangkit yang disebabkan oleh pengeluaran insulin yang tidak mencukupi atau penggunaan insulin yang tidak berkesan oleh badan yang mengakibatkan paras gula dalam darah yang tinggi (hiperglisemia). Jika ianya tidak dirawat, hiperglisemia menyebabkan kerosakan organ dan kematian pramatang. Diabetis adalah juga punca utama penyebab kehilangan penglihatan, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, strok dan amputasi anggota di bahagian bawah badan.

2.     Menurut Persekutuan Diabetis Antarabangsa, 1 daripada 10 orang dewasa menghidap diabetis pada tahun 2021. Dianggarkan 537 juta orang dewasa di seluruh dunia kini menghidap penyakit diabetis, dan angka ini dijangka akan meningkat ke 643 juta menjelang 2030. Diabetis menyebabkan 6.7 juta kematian pada tahun 2021 iaitu 1 penghidap diabetis meninggal dunia setiap 5 saat di seluruh dunia.

3.     Menyedari akan ancaman kesihatan global bagi diabetis, Persekutuan Diabetis Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah melancarkan Hari Diabetis Sedunia pada tahun 1991 yang kini merupakan kempen kesedaran diabetis terbesar di dunia yang diadakan setiap tahun pada 14 November. Tema untuk Hari Diabetis Sedunia 2021- 2023 adalah "Akses ke Penjagaan Diabetis" yang amat relevan semasa pandemik COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

4.     Tahun 2021 ini menandakan pencapaian penting dalam sejarah mengenai penjagaan diabetis kerana penemuan insulin berlaku seabad yang lalu iaitu pada tahun 1921. Walaupun terdapat kemajuan dalam terapi dan teknologi menangani diabetis, ramai orang di seluruh dunia mungkin tidak mempunyai akses kepada penjagaan yang mereka perlukan. Di Negara Brunei Darussalam, kita amat bersyukur kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telahpun menyediakan sistem penjagaan kesihatan percuma bagi perkhidmatan penjagaan diabetis yang komprehensif. Dengan adanya empat (4) buah hospital kerajaan dan lima belas (15) pusat kesihatan kerajaan di keempat daerah, terdapat perkhidmatan pelbagai disiplin untuk memenuhi keperluan penghidap diabetis. Selain itu, pusat-pusat kesihatan juga terletak secara strategik di kawasan tadahan untuk menyediakan akses mudah kepada penduduk-penduduk setempat.

5.     Menurut kajiselidik Kebangsaan Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit 2015-2016, prevalens diabetis di kalangan orang dewasa ialah 9.7%. Diabetis merupakan punca kematian ketiga utama selepas penyakit jantung dan kanser di Negara Brunei Darussalam. Pengesanan awal dan seterusnya rawatan diabetis adalah penting untuk mengurangkan risiko kerosakan organ akibat hiperglisemia. Usaha berterusan telah dan sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan sebelum penularan gelombang kedua pandemik COVID-19 - untuk memudahkan pengesanan awal diabetis melalui Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (National Health Screening Programme, NHSP), dan program tempat kerja dan kesihatan (Workplace and Health programme, WAH).

6.     Diabetes review atau pengawasan diabetis, pendidikan kesihatan, rawatan ubat-ubatan yang terdiri dari terapi oral dan suntikan insulin serta saringan bagi sebarang komplikasi semuanya ditawarkan di hospital dan pusat-pusat kesihatan. Pada tahun 2018, peranti pen insulin yang boleh digunasemula telah berjaya diperkenalkan dan disediakan secara percuma untuk penghidap diabetis yang memerlukannya. Pemeriksaan tahunan mata (retinopathy screening) dan kaki juga adalah penting bagi membolehkan pengesanan awal, intervensi dan pencegahan kerosakan organ yang mungkin berlaku, yang mana boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan atau pengundungan anggota badan. Di samping itu, penilaian pakar bagi sebarang komplikasi lain seperti penyakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang juga ada tersedia dan boleh diakses melalui rujukan daripada para doktor di pusat-pusat kesihatan dan klinik diabetis di hospital-hospital. Jururawat Pendidikan Diabetis dan pakar pemakanan mempunyai peranan penting dalam memperkasa dan menyokong penghidap diabetis; merekalah yang banyak terlibat dalam menyediakan pendidikan diabetis di kalangan masyarakat serta di persekitaran hospital. Walau bagaimanapun, pengurusan diri adalah kunci untuk mengurus diabetis dengan lebih yakin dan berkesan.

7.     Selain itu, 1 daripada 6 kelahiran hidup di seluruh dunia dipengaruhi oleh hiperglisemia semasa kehamilan. Di Negara Brunei Darussalam, klinik- klinik khusus untuk menjaga wanita yang menghidap diabetis semasa mengandung ada tersedia dan bertujuan untuk mengurangkan risiko kesan teruk terhadap ibu dan anak damit. Klinik-klinik sedemikian adalah percuma dan boleh diakses oleh semua ibu hamil (tempatan dan bukan tempatan) yang menghidap diabetis yang menetap di Negara Brunei Darussalam.

8.     Apa yang lebih membimbangkan, ramai yang mungkin menghidap diabetis yang tidak dirawat atau tidak didiagnosis mengakibatkan kemudaratan pada kesihatan dan selanjutnya pada pekerjaan mereka. Justeru itu, menangani isu akses yang lebih baik pada penjagaan diabetis untuk mereka ini akan memerlukan kerjasama pelbagai sektor.

9.     Sementara itu, gelombang kedua pandemik COVID-19 yang berlaku pada masa ini telah banyak memberikan cabaran yang mana majoriti sumber dan usaha penjagaan kesihatan kebanyakkannya adalah tertumpu pada memerangi dan mengatasi pandemik tersebut. Akibatnya, penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan biasa untuk diabetis juga turut terbatas dan telah berkurangan dengan ketara. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan telah berusaha untuk memastikan pesakit diabetis masih mempunyai akses kepada ubat-ubatan mereka dan juga akses kepada doktor mereka, Jururawat Pendidikan Diabetis dan pakar pemakanan melalui konsultasi dalam talian (telehealth consultation). Perjumpaan secara bersemuka memang dikurangkan tetapi masih juga diberikan jika perlu semasa pandemik ini.

10.            Individu yang menghidap diabetis lebih mudah terdedah kepada komplikasi COVID-19 dan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit yang lebih teruk dengan peningkatan risiko kematian. Risiko adalah lebih tinggi bagi mereka yang menghidap diabetis yang tidak terkawal kerana respon mereka adalah lebih perlahan terhadap rawatan dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih. Menurut data yang diperolehi daripada Pusat Pengasingan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam, 44 peratus kes kematian COVID-19 adalah mereka yang menghidap diabetes iaitu kira-kira 1 daripda 2 kematian. Sehubungan dengan ini, penghidap diabetis dinasihatkan untuk mengambil ubat mereka dengan kerap dan tetap, mengekalkan berat badan yang sihat, mengekalkan pemakanan yang sihat dan berusaha untuk melakukan aktiviti fizikal dengan selamat. Mengambilkira akan risiko yang lebih tinggi bagi mereka yang menghidap diabetis kepada jangkitan COVID-19, adalah dinasihatkan supaya mereka ini melengkapkan vaksinasi COVID-19.

11.            Ketika kita bergerak ke hadapan dalam era teknologi dan inovasi, Kementerian Kesihatan telah mengorak langkah besar dalam merebut peluang menggunakan big data untuk merancang pengurusan dan dasar penjagaan diabetis. Sebagai contoh, penghasilan platform pengurusan kesihatan diabetis di dalam aplikasi BruHealth sedang dalam fasa pembikinan untuk dijadikan alat aplikasi mudah alih yang dapat digunakan dan diakses oleh setiap penghidap diabetis bagi mengurus keadaan kesihatan diri sendiri pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

12.            Kementerian Kesihatan akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam menyampaikan penjagaan kesihatan yang komprehensif dan sejagat bagi setiap penghidap diabetis sepertimana yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019- 2023. Ini adalah peluang yang tepat pada masanya untuk mengingatkan dan menggalakkan semua bahawa kita perlu sama-sama bertanggungjawab terhadap kesihatan kita, dan melakukan yang terbaik untuk mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit seperti diabetis. Dengan sokongan padu dan kerjasama orang ramai, Kementerian Kesihatan akan terus komited untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, terutama sekali dalam mencapai matlamat kualiti kehidupan yang tinggi bagi semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam dan juga dalam mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) 2030.

-TAMAT-


Attachments