Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN DARI

YANG BERHORMAT

DATO PADUKA DR HAJI MD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA HARI KESIHATAN MULUT SEDUNIA 2018

TEMA: "KATAKAN AHH!: FIKIR MULUT, FIKIR KESIHATAN"

20hb MAC 2018

 

1.            Hari Kesihatan Mulut Sedunia atau World Oral Health Day diraikan pada 20hb Mac setiap tahun di seluruh dunia untuk memperingati kepentingan penjagaan kesihatan mulut. Ianya juga adalah sebagai satu platform bagi profesional pergigian untuk memberigakan dan meningkatkan kesedaran mengenai masalah kesihatan mulut dan pada masa yang sama untuk meneliti serta memantapkan tindakan-tindakan ke arah mengurangkan beban kesihatan mulut dikalangan masyarakat.

 

2.            Persekutuan Pergigian Sedunia (FDI World Dental Federation) telahpun melancarkan kempen 3 tahun untuk Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2018  dengan tema yang diberikan bagi sambutan pada tahun ini iaitu "Katakan Ahh!: Fikir Mulut, Fikir Kesihatan". "Katakan Ahh!" adalah perkataan yang lazim digunakan oleh doktor pergigian apabila mereka meminta pesakit untuk membuka mulut untuk diperiksa.  Tema "Katakan Ahh!", diharap akan menarik lebih ramai orang awam untuk membuat pemeriksaan gigi secara kerap. Manakala tema "Fikir Mulut, Fikir Kesihatan" seterusnya menekankan akan kepentingan penjagaan kesihatan mulut sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan fizikal secara keseluruhan.


3.            Kesihatan mulut bukan sahaja bererti mempunyai gigi yang cantik atau gusi yang sihat, malah ianya juga merangkumi pelbagai aspek termasuk mempunyai keupayaan untuk bercakap, senyum, mencium bau, merasa, mengunyah, menelan dan keupayaan untuk menggambarkan emosi melalui ekspresi wajah tanpa merasa sakit atau ketidakselesaan. Mulut yang sihat dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan dan penampilan, malahan secara psikologi dapat membantu meningkatkan keyakinan diri individu serta meningkatkan pengalaman interaksi sosial. Jika seseorang individu menghidap penyakit mulut, kesihatan individu tersebut boleh terjejas kerana kurangnya fungsi mulut, misalnya apabila makan dan minum terganggu, serta penampilan fizikal juga akan turut terjejas sehingga boleh mengakibatkan individu tersebut merasa kurang berkeyakinan (low-self esteem). Oleh itu, mempunyai mulut yang sihat dan berfungsi adalah penting untuk kesihatan am dan kesejahteraan sepanjang hayat dari zaman kanak-kanak hingga ke usia tua.


4.            Hasil daripada Kajiselidik Kebangsaan Kesihatan Mulut 2015-2017 di Negara Brunei Darussalam telahpun menunjukkan hampir 64% penduduk Brunei mempunyai kerosakan gigi yang tidak dirawat. Ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan peratus bagi negara maju seperti Australia,  yang mana peratus kerosakkan gigi yang tidak dirawat adalah serendah 28.7%. Namun begitu, jumlah gigi yang berlobang atau hilang atau bertambal mengikut DMFT score (total number of decayed, missing and filled teeth, DMFT) di kalangan orang dewasa yang berumur 35-44 tahun adalah hampir sama iaitu sebanyak 9.7 di Negara Brunei Darussalam dan 10.6 di negara Australia. Manakala bagi kesihatan struktur di sekitar gigi pula, seperti gusi dan tulang, 74.8% penduduk negara ini mempunyai keradangan gusi (inflammation of the gums). Perangkaan bagi masalah penyakit gusi ini menunjukkan perbezaan sebanyak kira-kira 15 peratus lebih tinggi di Negara ini (iaitu 40%) jika dibandingkan dengan kadar 24.5% di Australia dikalangan orang dewasa yang berumur 35-44 tahun. Walau bagaimanapun, DMFT score bagi kanak-kanak berusia 12 tahun adalah setanding dengan negara-negara jiran, yang mana ia menunjukkan  jumlah DMFT score 1.0 bagi Negara Brunei Darussalam berbanding 0.8 di Malaysia dan 0.6 di Singapura.

 

5.           Kajiselidik tersebut juga menunjukkan hanya 37.4% orang dewasa di Negara ini telahpun membuat pemeriksaan di klinik pergigian dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Seperti yang dimaklumi, pemeriksaan gigi adalah satu langkah pencegahan awal untuk mengesan masalah gigi. Sehubungan dengan dapatan ini, adalah disarankan bagi orang ramai untuk membuat pemeriksaan gigi setiap tahun kerana ianya adalah sangat penting didalam mengekalkan kesihatan gusi dan gigi.

 

6.            Antara langkah-langkah mudah yang boleh diambil oleh orang ramai untuk penjagaan kesihatan mulut adalah dengan mengelakkan faktor-faktor risiko seperti penggunaan tembakau dan permakanan yang tidak sihat, mengamalkan tabiat kebersihan mulut yang baik dan membuat pemeriksaan gigi secara berkala dan tetap. Ahli-ahli keluarga juga memainkan peranan yang penting terutama sekali ibu bapa didalam membentuk tabiat penjagaan kesihatan mulut sejak dari kecil lagi dan dalam memberikan pendidikan asas seawal lagi mengenai dengan kepentingan menjaga gusi dan gigi kepada anak-anak mereka.


7.            Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Pergigian akan berterusan berusaha untuk meningkatkan aktiviti kesedaran dan promosi kesihatan mulut dikalangan penduduk di Negara Brunei Darussalam melalui program-program yang sedia ada seperti Program Antenatal dan Toddler untuk ibu-ibu mengandung dan anak-anak berumur dibawah 5 tahun yang bertujuan untuk mendidik dan mendedahkan kanak-kanak dari usia muda mengenai cara yang betul untuk menjaga kebersihan dan kesihatan mulut. Pendedahan kepada penjagaan kesihatan mulut juga diperkukuhkan pada kanak-kanak sekolah melalui ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bersama dengan pihak sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikkan. Program perlaksanaan air berfluorida, yang telahpun dilaksanakan sejak tahun 1987, juga memberi manfaat kepada seluruh penduduk di negara ini. Walaupun produk-produk yang mengandungi fluorida seperti ubat gigi menyumbang kepada pencegahan dan kawalan kerosakkan gigi, namun penfluoridaan air telah dikenalpasti sebagai kaedah yang paling kos efektif untuk pemberian fluorida kepada seluruh masyarakat tanpa mengira usia dan status sosioekonomi. Pada masa ini, air berfluorida adalah dibekalkan kepada hampir seluruh bekalan air di negara ini.

 

8.            Mulut adalah cermin kepada badan di mana ianya mencerminkan kesihatan secara umum. Kita harus bersama merealisasikan matlamat Hari Kesihatan Mulut Sedunia iaitu bagi setiap individu untuk menyedari kesan kesihatan mulut terhadap kesihatan fizikal dan kesejahteraan. Ini adalah selaras dengan misi Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk meningkatkan status kesihatan penduduk secara keseluruhan melalui pencegahan dan kawalan penyakit di negara ini. Oleh itu, pergilah berjumpa dengan doktor gigi di Klinik Gigi berhampiran biskita, "Katakan Ahh!" dan beri perhatian kepada kesihatan mulut biskita.



Attachments