Sign In


PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA

DR HAJI MD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI TB SEDUNIA 2021

TEMA: 'THE CLOCK IS TICKING'

24 MAC 2021


1.           Hari TB Sedunia disambut pada setiap 24 Mac dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk orang ramai bahawa penyakit TB masih boleh dikesan di kebanyakan negara di dunia. Mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit TB menyebabkan kira-kira 1.4 juta kematian setiap tahun, kebanyakkannya di negara-negara yang sedang membangun.

2.           Bagi tahun 2021, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Stop TB Partnership telah memilih 'The clock is ticking' sebagai tema sambutan. Tema yang mempunyai pelbagai makna dan meliputi kesemua aspek pencegahan dan pengawalan jangkitan TB ini bertujuan untuk mengingatkan semua pihak mengenai komitmen yang telah diberikan dan membangkitkan semangat untuk menyegerakan tindakan dalam pencegahan dan pengawalan penyakit TB. Ia juga menyampaikan mesej bahawa dunia sudah hampir kehabisan masa untuk bertindak atas komitmen untuk menamatkan TB yang dibuat oleh pemimpin global. Ini sangat kritikal dalam konteks pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan kemunduran dalam sasaran pengurangan kadar jangkitan TB di peringkat global.

3.    Ketika dunia bersatu untuk mengatasi pandemik COVID-19, kita harus mengekalkan kesinambungan perkhidmatan penting ('essential services') untuk orang yang dijangkiti TB semasa wabak COVID-19. Adalah penting bahawa kemajuan yang dicapai dalam pencegahan dan penjagaan TB tidak menghadapi kemunduran oleh pandemik COVID-19. Mencari dan merawat penghidap TB merupakan tonggak asas bagi pencegahan dan penjagaan TB dan memerlukan perhatian berterusan.

4.           Di Negara Brunei Darussalam, kadar insiden penyakit TB telah meningkat daripada 53 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2019 kepada 68 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2020. Di antara penyumbang di sebalik peningkatan jumlah kes yang dikesan adalah peningkatan pengawasan atau surveilans untuk mengesan pesakit yang dijangkiti TB. Pengawasan ini akan membolehkan orang yang dijangkiti TB dikesan dan didaftarkan lebih awal dan oleh itu akan membolehkan mereka dirawat pada peringkat lebih awal. Ini akan mencegah penularan jangkitan kepada orang terdekat serta mencegah morbiditi dan kematian akibat penyakit TB.

5.           Kadar jangka hayat yang semakin meningkat di Negara Brunei Darussalam juga merupakan salah satu penyumbang peningkatan jumlah kes. Pembaikan dalam sistem penjagaan kesihatan telah membolehkan orang hidup lebih lama. Akan tetapi, dengan peningkatan jangka hayat, orang akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan-jangkitan seperti TB, lebih-lebih lagi dengan keadaan pada masa sekarang di mana terdapatnya peningkatan kadar penyakit tidak berjangkit seperti diabetis. Kajian-kajian perubatan telah menunjukkan terdapatnya kaitan di antara penyakit-penyakit tidak berjangkit dengan penyakit TB. Ini adalah disebabkan oleh sistem imun yang rendah di kalangan penghidap penyakit tidak berjangkit. Oleh yang demikian, pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit adalah merupakan salah satu elemen penting dalam mencegah dan mengawal penyakit TB di negara ini.

6.           Negara Brunei Darussalam sangat beruntung kerana kadar kes kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB (Multi-drug resistant TB dan extensively drug-resistant TB) serta kes jangkitan TB di kalangan pesakit HIV (TB-HIV) di negara ini adalah sangat rendah. Kedua-dua perkara ini adalah merupakan dua cabaran besar yang sedang dihadapi oleh dunia pada masa sekarang. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus proaktif bagi memastikan cabaran-cabaran tersebut sentiasa terkawal di negara ini. Justeru itu, Kementerian Kesihatan telah memfokuskan strategi dan tindakan pengawalan penyakit TB di Negara Brunei Darussalam kepada:

    1. Peningkatan sistem surveilans TB
    2. Penggunaan video DOTS untuk memudahkan pemantauan pesakit yang memakan ubat TB melalui aplikasi 'BruHealth'
    3. Peningkatan kesedaran semua pihak termasuk profesional kesihatan dan orang ramai tentang penyakit TB;
    4. Pengukuhan Program Saringan Penyakit TB (TB screening Program) dengan kumpulan-kumpulan sasaran tertentu; dan
    5. Rawatan dan pemantauan pesakit TB, termasuk bagi menghindari kemunculan kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB.

7.           Dalam pada itu, kerjasama padu serta komitmen penuh dari semua stakeholders, termasuk penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi-institusi pendidikan dan semua lapisan masyarakat adalah sangat-sangat diperlukan dengan segera kerana 'The clock is ticking' bagi sama-sama mencegah, mengawal dan seterusnya menghapuskan penyakit TB di negara ini.

-TAMAT-

 


Attachments