Sign In

155TH Sesion Executive Board (EB) of the World Health Organisation (WHO)

​YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI MESYUARAT SESI LEMBAGA EKSEKUTIF KE-155 PERTUBUHAN KESIHATAN SEDUNIA (155TH SESSION EXECUTIVE BOARD OF THE WORLD HEALTH ORGANISATION)

3-4 JUN 2024, GENEVA, SWITZERLAND

 

Menteri-Menteri Kesihatan dan wakil-wakil dari beberapa negara ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia [Executive Board (EB) of the World Health Organisation (WHO)] telahpun menghadiri Mesyuarat Eksekutif sesi ke-155 yang berlangsung di Geneva, Switzerland, bermula pada 03 Jun hingga 04 Jun 2024.

 

Delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan yang juga disertai oleh Puan Yang Terutama Dk Mazlizah binti Pg Hj Mahalee, Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland serta beberapa pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

 

Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah terdiri daripada 34 negara ahli yang dilantik untuk penggal tiga tahun dengan persetujuan komiti setiap rantau WHO. Mesyuarat-mesyuarat Lembaga diadakan dua tahun sekali, iaitu yang pertama pada bulan Januari bagi Lembaga untuk bersetuju dengan agenda dan resolusi yang akan dipertimbangkan oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia [World Health Assembly (WHA)] untuk tahun tersebut; dan mesyuarat kedua berlangsung setiap Mei-Jun iaitu menyusul kepada selesainya sesi Perhimpunan Kesihatan Sedunia, di mana ianya berfungsi untuk melaksanakan keputusan dan dasar WHA, dan juga memberikan panduan bagi memudahkan kerja WHO secara amnya.

 

Semasa persidangan Kesihatan Sedunia WHA77 yang telah selesai baru-baru ini, Negara Brunei Darussalam telahpun diterima untuk menjadi ahli kepada Lembaga Eksekutif selaku salah satu wakil negara-negara dari Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation Western Pacific Region) untuk terma 3 tahun daripada Mei 2024 - Mei 2027.

 

Mesyuarat Lembaga EB155 kali ini telahpun membincangkan mengenai beberapa isu termasuk hasil WHA77, laporan “Programme, Budget and Administration Committee of the Executive Board", laporan “Standing Committee on Health Emergency Prevention, Preparedness and Response (SCHEPPR)" dan yang berkaitan pengurusan, urus tadbir dan kewangan. Semasa Mesyuarat Lembaga EB155 tersebut, Negara Brunei Darussalam juga telahpun dilantik untuk menjadi ahli komiti SCHEPPR bagi mewakili Rantau Pasifik Barat, untuk terma dua tahun.


Disamping itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga berkesempatan untuk mengadakan kunjungan muhibah dengan Tuan Yang Terutama Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, Pengarah Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk membincangkan isu-isu kesihatan serta menyatakan komitmen negara untuk menyumbang kepada kesihatan global.

 

- TAMAT -

 

Bertarikh:         26 Zulkaedah 1445H / 4 Jun 2024

Rujukan:          KK/PR/3/1


Attachments