Sign In

FIRST National Biosafety and Biosecurity Strategy Workshop

PRESS INFO

MAJLIS PELANCARAN BENGKEL STRATEGI KEBANGSAAN BIOKESELAMATAN DAN BIOSEKURITI, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Isnin, 17 Zulhijjah 1445H bersamaan 24 Jun 2024M – Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Pelancaran Bengkel Strategi Kebangsaan Biokeselamatan dan Biosekuriti bertempat di The Radisson Hotel, Bandar Seri Begawan.


Tetamu Kehormat Majlis ini ialah Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan.

 

Mengikut pelan tindakan yang telah digariskan, Jabatan Perkhidmatan Makmal dan Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah bekerjasama untuk mengadakan Program Bengkel Strategi Kebangsaan Biokeselamatan Dan Biosekuriti Negara Brunei Darussalam sebagai fasa permulaan tindakan mewujudkan Rangka Kerja Kebangsaan Biokeselamatan dan Biosekuriti di Negara Brunei Darussalam.

 

Bengkel ini merupakan pelan tindakan utama yang disarankan semasa Joint External Evaluation (JEE) pada tahun 2019 bagi memenuhi keperluan Peraturan Kesihatan Antarabangsa [International Health Regulation (2005) (IHR)]. IHR ialah rangka kerja undang-undang untuk keselamatan kesihatan global (global health security) yang menggariskan kewajipan bagi semua Negara Ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia termasuk Negara Brunei Darussalam untuk membangunkan kapasiti teras minima (minimum core capacities) bagi mengesan (detect), mencegah (prevent), bertindak balas (respond) dan menghalang penyebaran ancaman penyakit (IHR-related hazards and points of entry). Biokeselamatan dan Biosekuriti adalah bidang teknikal di bawah kapasiti teras mencegah (prevent) yang menekankan:

  1. Sistem Whole-of-Government approach dalam Biokeselamatan dan Biosekuriti bagi semua sektor (termasuk manusia, haiwan dan tanaman),
  2. Latihan dan amalan Biokeselamatan dan Biosekuriti dalam semua sektor yang berkaitan.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Ustaz Ahmad Syuja'ie bin Begawan Mudim Haji Metassim, Ketua Guru Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, selaku Tetamu Kehormat Majlis.
​ 

Bengkel dua hari ini dihadiri seramai 45 orang Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan dari beberapa agensi-agensi Kerajaan. Bengkel-bengkel ini disampaikan oleh konsultan-konsultan daripada International Federation of Biosafety Association (IFBA) dan dibiayai sepenuhnya oleh Global Affairs Canada.

 

Turut hadir di majlis pelancaran ini ialah Pengiran Dr. Haji Md Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Ketua-Ketua Jabatan, beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

​- T A M A T -

 

Tarikh:           17 Zulhijjah 1445H / 24 Jun 2024M

Rujukan:         KK/PR/3/1


Attachments