Sign In

MEETING and dialogue sessions with students and officials in the fields of medicine, dentistry and Allied Health Professionals

YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI SESI PERJUMPAAN DAN DIALOG BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT DAN PEGAWAI-PEGAWAI DI DALAM BIDANG PERUBATAN, PERGIGIAN DAN PROFESIONAL KESIHATAN BERSEKUTU

28 Mei 2023

LONDON, UNITED KINGDOM

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah menghadiri sesi perjumpaan dan dialog bersama penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai di dalam bidang perubatan, pergigian dan Profesional Kesihatan Bersekutu (Allied Health Professional), termasuk yang mengikuti kursus kepakaran, berlangsung di London, United Kingdom pada 28 Mei 2023.

 

Delegasi daripada Kementerian Kesihatan diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan yang juga disertai oleh Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, dan Yang Mulia Dr. Awang Ang Swee Hui, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) serta Pegawai-Pegawai Kanan, Kementerian Kesihatan.

 

Di sesi tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telahpun memberikan ucapan yang diantaralain menyentuh mengenai usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mendokong hasrat negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 dari segi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyatakan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam, juga terus memberikan biasiswa dan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) kepada penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai yang berkenaan untuk mengambil jurusan atau kepakaran dalam bidang perubatan dan kesihatan, termasuk Profesional Kesihatan Bersekutu, samada di dalam dan di luar negeri.

 

Dari itu, adalah sangat diharapkan penuntut-penuntut berkenaan menunjukkan patriotisma dan kesetiaan kepada negara dan bangsa, selesai menjalani pembelajaran dan latihan akan kembali bertugas di negara untuk menyumbangkan khidmat bakti dengan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan efisien demi meningkatkan tahap kesihatan dan sekaligus kesejahteraan rakyat dan penduduk serta masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

 

Di sesi dialog tersebut, beberapa perkara penting turut dikongsikan mengenai dengan prosedur-prosedur dan proses-proses terkini berkaitan perkhidmatan-perkhidmatan termasuk penambahbaikan dan pengukuhan dibawah Kementerian Kesihatan, dan seterusnya membincangkan mengenai cabaran-cabaran di dalam sistem kesihatan di masa hadapan, laluan kerjaya di bidang kepakaran, peluang-peluang latihan dalam perkhidmatan, dan jenis-jenis kepakaran perubatan, pergigian, serta Profesional Kesihatan Bersekutu yang sangat-sangat diperlukan di Negara Brunei Darussalam.

 

Semasa berada di United Kingdom, Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta rombongan juga turut membuat beberapa lawatan kerja ke inistitusi-institusi perubatan yang terkemuka dengan matlamat untuk mendapatkan peluang-peluang bagi meningkatkan kepakaran di kalangan pengamal-pengamal perubatan, pergigian, serta Profesional Kesihatan Bersekutu tempatan, dalam usaha bagi mengukuhkan lagi sistem kesihatan untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi yang berterusan kepada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.


- TAMAT -

 

Tarikh      : 12 Zulkaedah 1444H / 01 Jun 2023M

Rujukan   : KK/PR/2


Attachments