Sign In

MEGA Blood Donation Campaign organized by Blood Bank, RIPAS Hospital

PRESS INFO

MEGA BLOOD DONATION CAMPAIGN ANJURAN PUSAT PENDERMAAN DARAH HOSPITAL RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK SALEHA​


Rabu, 25 Zulkaedah 1444H / 14 Jun 2023M – Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha mengadakan kempen pendermaan darah secara besar-besaran iaitu 'Mega Blood Donation Campaign', yang dianjurkan bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia 2023.

 

Hari Penderma Darah Sedunia lazimnya disambut pada setiap tahun semenjak pengisyitiharannya pada tahun 2005 semasa Perhimpunan Kesihatan Dunia, iaitu pada setiap 14hb Jun. Hari ini disambut sebagai satu platform untuk meraikan dan memberikan penghargaan kepada penderma-penderma darah sedunia di atas niat baik mereka menghadiahkan sesuatu yang sangat bernilai bagi pesakit-pesakit yang memerlukan permindahan atau transfusi darah.

 

Objektif Hari Penderma Darah Sedunia ini adalah juga menarik minat dan memberikan peluang bagi penderma darah yang baru khususnya dan orang ramai yang sihat untuk tampil menderma darah secara kerap. Dengan adanya sambutan ini, kesedaran dan kefahaman dapat ditingkatkan kepada orang ramai bahawa pendermaan darah adalah sewajarnya dilakukan secara sukarela tanpa memerlukan imbalan atau hadiah seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

 

'Mega Blood Donation Campaign' pada tahun ini akan bertumpu dan diadakan pada 3 tarikh yang berasingan iaitu pada hari ini, Rabu, 14hb Jun 2023, bertempat di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan juga pada Hari Isnin dan Hari Selasa, iaitu 19hb dan 20hb Jun 2023, bertempat di Dewan Al'-Afiah, Kementerian Kesihatan.

 

Bagi orang ramai yang ingin menderma darah di salah satu acara tumpuan tersebut, mereka disarankan untuk menempah slot pendermaan darah terlebih dahulu, melalui Aplikasi Bloodkad mengikut slot-slot masa yang telah disusun bagi mengelakkan kesesakan ketika kempen tersebut dijalankan. Slot secara walk-in juga diterima, walau bagaimanapun, slot adalah tertakluk kepada keramaian yang sedia ada dan slot adalah setentunya terhad. 

 

- T A M A T  -

 

Tarikh:           25 Zulkaedah 1444H / 14 Jun 2022M

Rujukan:        RIPASH/CSR/JUN2023


Attachments