Sign In

NUCLEIC Acid Amplication Testing launced

PRESS INFO

MAJLIS SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2023 DAN PELANCARAN UJIAN AMPLIFIKASI ASID NUKLEIK

Sabtu, 28 Zulkaedah 1444H / 17 Jun 2023M – Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 dan Pelancaran Ujian Amplifikasi Asid Nukleik pada hari ini bertempat di Tingkat 4, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Tema Sambutan Hari Penderma Darah pada tahun ini ialah 'Give Blood, Give Plasma, Share Life, Share Often'.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

 

Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Nor Asilin bin Haji Puting, Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dr Hjh Surita Binti Hj Mohd Taib, Pengarah Perkhidmatan Makmal selaku Pengerusi Majlis dan ucapan dari Tetamu Kehormat, serta diteruskan dengan menyaksikan Video Pusat Pendermaan Darah. Majlis kemudiannya diikuti dengan Pelancaran Ujian Amplifikasi Asid Nukleik.

 

Ujian Amplifikasi Asid Nukleik atau lebih dikenali sebagai NAAT (iaitu singkatan bagi Nucleic Acid Amplication Testing) ini merupakan satu ujian makmal yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara jiran, antara lainnya termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand yang telah menggunakan ujian NAAT ke atas setiap unit-unit darah.

 

Tujuan Ujian NAAT adalah untuk meningkatkan lagi keselamatan darah dan komponen-komponen darah yang didermakan daripada jangkitan kuman atau virus penyakit-penyakit berjangkit khususnya penyakit bawaan darah seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan juga Human Immunodeficiency Virus (HIV).

 
Ujian NAAT ini akan dilaksanakan selari dengan ujian saringan makmal, ujian Antibodi dan Antigen yang sedia ada. Kelebihan ujian NAAT ini adalah, ia dapat mengesan jangkitan virus di dalam darah tersebut lebih awal dan mampu memendekkan tempoh 'window period' bagi setiap jenis kuman. Apa yang dimaksudkan dengan 'window period' di sini adalah tempoh di antara selepas seseorang individu itu mula terdedah kepada virus hingga satu fasa di mana penyakit tersebut mula dapat dikesan melalui kaedah ujian makmal yang sedia ada.

 

Lazimnya, pada peringkat awal, virus yang menjangkiti badan manusia tidak akan dapat dikesan oleh ujian-ujian makmal seperti ujian antibodi atau antigen kerana sel-sel di dalam badan memerlukan masa untuk mengenal pasti virus tersebut dan barulah akan bertindak balas dengan penghasilkan antibodi. Ataupun kadar virus yang ada di dalam badan (iaitu viral load) adalah terlalu rendah untuk dikesan dengan kaedah ujian yang sedia ada. Justeru dengan Ujian NAAT yang berlandaskan teknik molekular boleh menggandakan virus yang ada dan pengesanan jangkitan kini dapat dikenal pasti lebih awal dalam tempoh 'window period' yang lebih singkat.

 
Pengesanan awal virus di dalam darah adalah sangat penting bagi memastikan darah yang didermakan adalah selamat sebelum ia dipindahkan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan. Ini adalah selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan dalam mempertingkatkan Keselamatan dan Kualiti Penjagaan Kesihatan Pesakit dan Pelan Tindakan Dunia bagi Keselamatan Pesakit (Global Patient Safety Action Plan).

 

Kementerian Kesihatan juga ingin menjemput orang ramai untuk menyertai Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 akan diadakan pada tarikh dan masa seperti berikut:-

 

TarikhTempatWaktu Pendaftaran

Isnin

19 Jun 2023

Dewan Al-'Afiah

Kementerian Kesihatan

9.00 pagi – 11.30 pagi

1.30 petang – 3.30 petang

Selasa

20 Jun 2023

Dewan Al-'Afiah

Kementerian Kesihatan

8.00 pagi – 11.30 pagi

1.30 petang – 3.30 petang

 

Turut hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Dr Ang Swee Hui, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Pg Dr Haji Md Khalifah bin Pg Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan; Ketua-Ketua Jabatan, beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

 

- ​T A M A T -

Tarikh: 28 Zulkaedah 1444H / 17 Jun 2023M

Rujukan: KK/PR/3/1

Attachments