Sign In

RABIES Disease Status in Brunei Darussalam

SIARAN AKHBAR

Status Penyakit Rabies di Negara Brunei Darussalam

Khamis, 30 Muharram 1445 / 17 Ogos 2023

 

1. Merujuk Siaran Akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Sarawak, Malaysia pada 15 Ogos 2023 yang mengesahkan bahawa Marudi, Miri telah dikenalpasti sebagai salah satu kawasan yang dijangkiti penyakit Rabies setelah seekor anjing liar disahkan positif Rabies pada 2 Ogos 2023, sebanyak 73 kawasan di negeri tersebut kini telah dijangkiti penyakit Rabies.


2. Rabies ialah sejenis penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus yang berlaku di kalangan haiwan seperti anjing dan kucing. Penyakit ini boleh merebak daripada haiwan yang dijangkiti kepada manusia melalui luka gigitan haiwan atau luka terbuka pada kulit manusia yang terkena air liur atau cairan tubuh haiwan. Biasanya, manusia yang dijangkiti hanya akan menunjukkan tanda-tanda penyakit Rabies di antara 20 hari ke 3 bulan selepas gigitan haiwan dengan tanda-tanda seperti demam, sakit badan dan kepala, sensitive kepada air, lumpuh dan koma.


3. Gejala awal penyakit Rabies pada haiwan termasuk perubahan tingkah laku secara tiba-tiba seperti resah dan gelisah, agresif atau sebaliknya lemah dan tidak bermaya. Apabila penyakit semakin merebak, haiwan boleh mengeluarkan air liur yang berlebihan serta bersikap sensitif kepada cahaya dan bunyi, kelumpuhan anggota badan dan juga boleh membawa kepada kematian.


4. Sehubungan ini, Jawatankuasa Pasukan Bertindak bagi Menangani Penyakit Zoonotik terdiri dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Negara Brunei Darussalam ingin memaklumkan bahawa setakat ini, Alhamdulillah, tidak ada kes jangkitan Rabies di kalangan manusia ataupun haiwan telah direkodkan di Negara Brunei Darussalam.


5. Pada masa ini pengimportan dan lintas sempadan (transit) haiwan peliharaan daripada negara-negara jiran yang merekodkan kes-kes jangkitan Rabies adalah tidak dibenarkan. Ini adalah sebagai langkah pencegahan dan kawalan pergerakkan haiwan bagi mengurangkan risiko kemasukan penyakit Rabies ke Negara Brunei Darussalam.


6. Orang ramai yang mempunyai anjing dan kucing peliharaan adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan ke atas haiwan peliharaan dari dijangkiti oleh penyakit Rabies dengan melaksanakan perkara-perkara seperti berikut:

i) Membawa haiwan peliharaan mereka untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Rabies di klinik haiwan berdekatan sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan tersebut;

ii) Jika terdapat gejala atau tanda-tanda yang disyaki dalam haiwan peliharaan, pemilik haiwan adalah disarankan untuk berhubung terus dengan klinik haiwan terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut serta khidmat nasihat daripada seorang doctor veterinar;

iii) Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan atau membeli haiwan peliharaan daripada tempat dan sumber yang dipercayai sahaja, lengkap dengan suntikan vaksinasi Rabies sebelum memiliki haiwan tersebut, serta mengelakkan daripada penyeludupan haiwan peliharaan daripada negeri-negeri jiran.


7. Bagaimanapun, jika terjadi sebarang insiden gigitan haiwan peliharaan atau yang tidak bertuan (stray animals), pihak Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal bagi mengurangkan risiko jangkitan Rabies seperti berikut:-

i) Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;

ii) Dapatkan rawatan luka dengan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;

iii) Patuhi arahan doktor sekiranya diperlukan suntikan vaksin anti-Rabies mengikut jadual suntikan yang diberi;

iv) Untuk mengurangkan risiko digigit, disarankan untuk tidak mendekati haiwan liar atau binatang agresif; dan

v) Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.


8. Pihak Kementerian Kesihatan juga menyarankan individu yang berisiko tinggi seperti pengendali anjing dan kucing, doktor haiwan dan kakitangan makmal haiwan untuk mendapatkan suntikan vaksinasi bagi mencegah jangkitan Rabies di kalangan manusia.


9. Pemilik anjing yang berdaftar juga dinasihatkan untuk tidak membiarkan anjinganjing peliharaan mereka dilepaskan dengan tidak dipantau dan berada di tempat awam. Di bawah Akta Anjing Penggal 60, pemilik atau penjaga anjing juga adalah dimestikan untuk mendaftarkan anjing-anjing peliharaan dan seterusnya untuk mendapatkan lesen dan lencana anjing mereka di Jabatan-Jabatan Bandaran. Jika pemilik atau penjaga anjing gagal untuk mendaftarkan atau mendapatkan lesen dan lencana, tindakan undang-undang akan diambil dan jika sabit kesalahan akan di denda sebanyak $250 atau jika gagal membayar denda, penjara selama 14 hari, dan jika sabitan yang kedua atau berikutnya, denda sebanyak $500 atau jika gagal membayar denda penjara selama satu bulan.


10. Jawatankuasa Pasukan Bertindak bagi Menangani Penyakit Zoonotik akan terus memantau situasi ini dan memaklumkan apa jua perkembangan mengenainya kepada orang ramai,dari masa ke masa.


11. Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran anjing peliharaan, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan di talian 2232430 ext 303; Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria di talian 3347495; dan Jabatan Bandaran Tutong di talian 4221009 / 8282965.

/Tamat

 

Disediakan oleh:

Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Negara Brunei Darussalam selaku Jawatankuasa Pasukan Bertindak bagi Menangani Penyakit Zoonotik


Attachments