Sign In

80 Billion Steps Together Campaign

PRESS INFO

'KEMPEN 80 BILION LANGKAH BERSAMA' SEMPENA MAJLIS PELANCARAN 'BN ON THE MOVE' 2023


03 Safar 1445H bersamaan 20 Ogos 2023M – Kementerian Kesihatan telah mengadakan 'Kempen 80 Bilion Langkah Bersama' sempena majlis pelancaran 'BN on the Move' yang terbaru pada hari ini bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan semasa Program Bandarku Ceria.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.  Tetamu-Tetamu Khas pada acara ini juga dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri di Kementerian-Kementerian Negara Brunei Darussalam.

 

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa selamat oleh Yang Mulia Ustaz Haji Mohd Emmarul bin Haji Azamain, Guru Kanan I, Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan seterusnya sesi pemanasan badan beramai-ramai dan diselajurkan dengan Tetamu Kehormat menyempurnakan perlepasan bagi acara walkaton 'BN on the Move'. Acara walkaton sejauh 6 kilometer ini bermula dari Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien sehingga Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan kembali semula ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

 

Seterusnya,Tetamu Kehormat Majlis kemudian menyaksikan pameran-pameran kesihatan dan teknologi daripada rakan-rakan usaha sama yang terlibat dengan menjayakan acara BN on the Move.

 

BN on the Move yang terbaru adalah kesinambungan dari inisiatif BN on the Move yang pertama yang telah dilancarkan tahun lepas pada 14 Ogos 2022. Kempen BN on the Move yang terbaru ini bermula pada bulan ini dan akan berakhir pada bulan Disember tahun ini. Berdasarkan kejayaan BN on the Move Versi Pertama, BN on the Move yang terbaru ini telah diubah suai dengan meluaskan skop untuk meliputi pelbagai jenis kegiatan fizikal serta senaman, menarik orang ramai untuk terus menggunakan aplikasi BruHealth dan juga akan menawarkan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan dengan ciri-ciri tambahan seperti pertandingan berkumpulan dan sistem mata insentif.

 

Ciri-ciri baru yang diperkenalkan dalam BN on the Move:

  • Selain dari pengiraan jumlah langkah setiap hari, pengguna akan dapat melaporkan pelbagai jenis kegiatan fizikal dan senaman termasuk aktiviti kesukanan seperti berenang, berbasikal dan juga aktiviti di dalam gimnasium di dalam BN on the Move;
  • Gamification yang menyediakan pertandingan atau cabaran-cabaran bagi individu dan secara berpasukan bagi mendorong pengguna untuk lebih melibatkan diri dan berdaya saing dalam melakukan kegiatan fizikal; membolehkan pengguna berinteraksi dengan pengguna yang lain, melalui sistem leaderboard sebagai motivasi bersama;
  • Sistem mata Brupoints akan dikenalkan sebagai insentif untuk meningkatkan kegiatan fizikal yang akan menjana mata Brupoints mengikut jenis aktibiti pengguna dengan menawarkan pelbagai insentif (Ganjaran/rewards) secara digital dan fizikal yang boleh diperolehi apabila pengguna telah memenuhi sasaran kegiatan fizikal secara individu dan juga berpasukan. Mata (Points) yang dikumpulkan berfungsi sebagai insentif bagi mendorong pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif secara berterusan. Sistem mata insentif ini dikenali sebagai BruPoints Mall.

 

Kementerian Kesihatan juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penaja-penaja utama dan rakan-rakan kongsi di atas sokongan dan kerjasama dalam memainkan peranan penting bagi menjayakan kempen ini.

 

-TAMAT-

 

Tarikh             : 03 Safar 1444H bersamaan 20 Ogos 2023M   

Rujukan           : KK/PR 3/1


Attachments