Sign In

MENTAL Health Day Symposium 2023

​PRESS INFO

SIMPOSIUM KESIHATAN MENTAL SEMPENA HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2023


Selasa, 24 Rabiulawal 1445H / 10 Oktober 2023M – Kementerian Kesihatan telah mengadakan Simposium Kesihatan Mental  sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 pada hari ini bertempat di Dewan Al'-Afiah, Kementerian Kesihatan. Simposium ini adalah anjuran bersama Pusat Promosi Kesihatan, Jabatan Psikatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

 

Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober setiap tahun di seluruh dunia dan merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental (World Federation for Mental Health) untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini membawa tema "Kesihatan mental adalah hak asasi manusia" (Mental Health is a Universal Human Right). Tema tahun ini membolehkan kita untuk menggandakan lagi usaha untuk memastikan semua masyarakat menerima penjagaan kesihatan mental yang berkualiti, dan hak asasi manusia serta kesejahteraan rakyat yang mengalami penyakit mental ini dihormati di seluruh dunia.

 

Mengikut tema tahun ini, objektif menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini adalah:

 

  1. Meneruskan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan, terutamanya dalam kalangan penduduk yang bekerja;

     
  2. Meningkatkan kefahaman rakan sekerja/rakan sebaya, majikan, ahli keluarga dan komuniti tentang kesihatan mental dan penyakit mental; merangkumi pengurusan dan kesan pada khususnya;

     
  3. Mengongsikan dan mempromosikan perkhidmatan penjagaan kesihatan mental (termasuk talian bantuan kesihatan mental kebangsaan) yang tersedia dan disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan juga pihak lain di negara ini; dan

     
  4. Meneruskan menangani persepsi negatif terhadap kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam terutamanya di tempat kerja dengan mengurangkan stigma sosial yang berkaitan dengan kesihatan mental.

     

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Ustaz Ahmad Syuja'iee bin Mudim Haji Matassim, Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dr Pg Fariza Suryani binti Pg Dato Paduka Haji Sani, Ketua Perkhidmatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan dan diikuti dengan ucapan dan Perasmian Simposium daripada Tetamu Kehormat.

     

    Simposium juga diserikan dengan sesi pengongsian ilmu berkaitan dengan tema “Mental Health in the Workplace: Universal Rights for All" dengan menjemput Yang Mulia Dr. Deeni Rudita bin Idris, Pensyarah, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) selaku Moderator Simposium. Simposium ini dibincangkan oleh tiga ahli panel iaitu Yang Mulia Dr. Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Professor Adjung, Universiti Brunei Darussalam, Yang Mulia Ustaz Awang Mohammad Yussof bin Hj Abd Majid, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Nor Syahmun binti Hj Matassan Ketua Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan.

     

    Majlis seterusnya menjemput Tetamu Kehormat menyaksikan pameran kesihatan yang diadakan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023. Dengan adanya acara simposium dan pameran ini, Kementerian Kesihatan berharap akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental di kalangan masyarakat tertutama sekali ditempat kerja.

     

    Turut hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Dr Ang Swee Hui, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Yang Mulia Dr. Hajah Anie Haryani binti Haji Abd Rahman, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Yang Mulia Dr Hajah Lailawati binti Haji Jumat, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Ketua-Ketua Jabatan, beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

     

- T A M A T -



Tarikh: 24 Rabiulawal 1445H / 10 Oktober 2023M
Rujukan: KK/PR/3/1


Attachments