Sign In

HFMD Situation

SITUASI PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD)

 

1.                 Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai peningkatan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam beberapa minggu kebelakangan. Dalam tempoh bermula 1 Januari 2024 hingga 6 Mac 2024, jumlah kes HFMD yang dilaporkan di negara ini ialah sebanyak 1,751 kes berbanding dengan jumlah purata lima tahun kebelakangan (2019-2023) bagi tempoh yang sama iaitu sebanyak 598 kes. 55% dari semua kes yang dilaporkan setakat ini adalah di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah. Sementara itu, tidak ada kes kematian akibat HFMD telah dilaporkan di negara ini sejak satu kes kematian akibat HFMD dilaporkan pada tahun 2005.

 

2.                 HFMD adalah merupakan salah satu jangkitan yang biasa dihidap oleh kanak-kanak, terutama sekali mereka yang berumur di bawah 5 tahun. Tanda-tanda penyakit termasuklah demam panas, kurang nafsu makan, merasa tidak sihat, ruam kulit dan sakit tekak. Luka-luka dan ulser dalam mulut (mouth sores dan ulcers) juga kerap dialami iaitu pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi. Jangkitan ini adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh merebak dari seorang ke seorang melalui sentuhan tangan atau menyentuh permukaan yang dicemari virus berkenaan. Anak-anak damit mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti di mana boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti penyakit radang otak (encephalitis) dan dehidrasi.

 

3.                 Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang membawa anak-anak mereka bercuti ke luar negara dan dengan bermulanya musim persekolahan tidak lama lagi, untuk mengambil langkah-langkah kewaspadaan, pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan seperti berikut:

  • Sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan cecair pembersih tangan atau sabun dengan air yang bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menukar lampin atau melakukan apa jua jenis pekerjaan rumah.
  • Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran samada di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak atau sekolah.
  • Tidak menghantar kanak-kanak yang dijangkiti HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain. Mereka juga adalah dinasihatkan untuk tidak dibawa ataupun pergi ke tempat tempat awam, seperti pasar raya, kompleks membeli belah, taman permainan, kolam renang dan lain-lain.
  • Membersihkan dan menyahkumankan (disinfect) permukaan yang tercemar termasuk alat permainan.
  • Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, sudu dan garpu.

     

4.                 Kementerian Kesihatan juga menasihatkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk membawa anak-anak mereka dengan segera ke pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital yang berhampiran jika terdapat tanda-tanda HFMD.

 

5.                 Mengenai dengan satu mesej tular mengenai satu kes kematian akibat HFMD, Kementerian Kesihatan telah menyelidiki perkara tersebut dan mengesahkan perkara tersebut tidak berlaku di negara ini. Kematian akibat HFMD biasanya disebabkan oleh jangkitan HFMD yang sangat teruk hingga menimbulkan komplikasi yang serius atau jika pada masa yang sama, pesakit juga menghidap penyakit-penyakit serius yang lain.

 

6.                 Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan apa jua perkembangan mengenainya dari masa ke masa. Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 ataupun melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn.

-​ TAMAT -​


Rujukan          : KK/PR/1

Tarikh             : 30 Syaaban 1445H / 11 Mac 2024


Attachments