Sign In

MOH Prihatin 1445 / 2024

PRESS INFO
​MOH PRIHATIN ​1445H/2024M


Ahad, 13 Ramadhan 1445H bersamaan 24 Mac 2024M - Kementerian Kesihatan mengadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit yang kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan derma, barang-barang keperluan asasi dan peralatan perubatan kepada pesakit serta keluarga yang telah dikenal pasti dan berdaftar di Bahagian Kebajikan Perubatan di keempat-empat Daerah.

 

Pada tahun ini, seramai 16 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Perkhidmatan Kebajikan Perubatan (Medical Social Worker Services) telah dikenal pasti bagi tujuan lawatan berkenaan. Rombongan lawatan tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu satu kumpulan rombongan di Daerah Brunei Muara, satu kumpulan rombongan di Daerah Belait, satu kumpulan rombongan di Daerah Tutong dan satu kumpulan rombongan di Daerah Temburong.

 

Rombongan lawatan Kumpulan A bagi Daerah Brunei Muara diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, yang melawat seramai 5 orang pesakit.

 

Di Daerah Belait, rombongan lawatan Kumpulan B diketuai oleh Yang Mulia Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap, yang melawat seramai 4 orang pesakit; rombongan lawatan Kumpulan C di Daerah Tutong pula diketuai oleh Yang Mulia Dr Ang Swee Hui, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), yang melawat seramai 5 orang pesakit. Manakala rombongan di Daerah Temburong pula diketuai oleh Yang Mulia Dr Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, yang melawat seramai 2 orang pesakit.

 

Aktiviti lawatan tersebut yang dikenali sebagai MoH Prihatin merupakan salah satu aktiviti kebajikan yang diungkayahkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Perkhidmatan Kebajikan Perubatan (Medical Social Worker Services) bagi menyerahkan sumbangan yang terkumpul dari Tabung Bantuan Amal Pesakit Perkhidmatan Kebajikan Perubatan yang diperolehi dari sumbangan ikhlas daripada warga Kementerian Kesihatan, persatuan-persatuan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.


Projek MoH Prihatin ini juga turut disokong oleh Ketua-ketua Jabatan di Kementerian Kesihatan, pegawai-pegawai kanan; pegawai-pegawai perubatan; jururawat-jururawat; kakitangan Hospital; wakil-wakil dari Persatuan Kesihatan Bersekutu (Allied Health Association), Brunei Cardiac Society, Brunei Society of Anaesthesiologists (BSA), Brunei Medical Association (BMA), Brunei Paediatric Society (BPS), Brunei Darussalam Association of Medical Laboratory Scientists (BAMLS) dan RIPASH Doctors' Mess dan juga sumbangan persendirian daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

 

- T A M A T -



Tarikh: 13 Ramadhan 1445H / 24 Mac 2024M

Rujukan:         KK/PR/3/1


Attachments